Lelaki ditahan miliki senapang angin

Senapang dan barangan yang dirampas. Gambar kecil: Muhd Nurhishamuddin
Senapang dan barangan yang dirampas. Gambar kecil: Muhd Nurhishamuddin
A
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan bersama selaras senapang angin dalam serbuan pihak berkuasa di sebuah taman di Bandar Seri Jempol, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan menyerbu rumah berkenaan sebaik menerima maklumat tersebut kira-kira jam 2.30 petang.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah mendapati suspek telah memiliki dan menyimpan selaras senapang angin berwarna hitam yang disimpan di dalam beg diletakkan di sebelah peti sejuk dekat bahagian dapur rumah.

"Setelah membuat pemeriksaan, suspek didapati tidak mempunyai apa-apa lesen senjata atau permit senjata," katanya selepas mengesahkan laporan hari ini.

Muhd Nurhishamuddin berkata, polis turut merampas 30 butir guli besi, satu buah tong gas, sebatang tekanan hos dan satu batang pencuci laras.

"Siasatan lanjut juga mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod lampau bersabit kes narkotik.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel Berkaitan: