Tun M tak sanggup diperalat dalang video intim

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak sanggup diperalat oleh dalang yang berniat jahat membuat dan menularkan satu rakaman video intim bagi menjatuhkan pemimpin tertentu.

Katanya, dalang yang membuat video berkenaan berharap selepas tularnya rakaman tersebut pemimpin yang disasarkan mereka akan disingkirkan.

“Saya sering ditanya berkenaan video intim.

“Video ini dibuat dan diviral jelas untuk tujuan politik. Khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.

“Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor,” kata Dr Mahathir menerusi entri terbaru di blognya Chedet pagi tadi.

Kata Dr Mahathir, kes video terbabit akan ditangani sebagai isu politik kerana sekiranya beliau mengambil sebarang tindakan maka ia bermakna perancangan dalang terbabit telah berjaya.

“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik.

“Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tambahnya, agama Islam melarang perbuatan mengintip atau mencari keburukan orang lain.

“Namun, apa yang dilakukan (oleh dalang) lebih buruk daripada mengintip,” katanya.

Kenyataan terbaru yang dibuat Dr Mahathir itu difahamkan merujuk kepada satu rakaman video intim melibat bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong dengan lelaki yang mirip seorang menteri Kabinet.