Nasi kerabu, nasi dagang dan laksam di bumi Makkah

Sarapan selera pantai timur iaitu nasi kerabu, nasi dagang serta laksam juga mudah didapati di bumi Makkah ini. - Foto Bernama
Sarapan selera pantai timur iaitu nasi kerabu, nasi dagang serta laksam juga mudah didapati di bumi Makkah ini. - Foto Bernama
A
A
A

MAKKAH - [DIKEMASKINI] Selepas menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram, jemaah haji Malaysia termasuk penulis sendiri mudah mendapatkan pelbagai jenis juadah untuk sarapan pagi sama ada daripada peniaga makanan jalanan, kedai makan atau kafetaria maktab penginapan.

Sarapan selera tempatan seperti roti dan kebab atau cita rasa Malaysia nasi lemak, roti canai serta teh tarik sudah diketahui mudah didapati di sini, namun melangkau persepsi penulis apabia sarapan selera pantai timur iaitu nasi kerabu, nasi dagang serta laksam juga mudah didapati di bumi Makkah ini.

Ahmed Nabeel, 38, seorang petugas kafeteria maktab penginapan jemaah haji Malaysia di sini berkata nasi kerabu, nasi dagang dan laksam yang dijual di kafeterianya dibekalkan oleh beberapa peniaga kecil tempatan berbangsa Melayu Pattani yang tinggal di kawasan berhampiran.

"Mereka hantar makanan itu ke kafeteria berdasarkan tempahan kami, selalunya kami ambil dalam 40 hingga 50 bungkus setiap jenis makanan ketika musim haji ini dan alhamdulillah ia habis dijual atau tinggal beberapa bungkus ketika tiba tengah hari.

"Nasi lemak, mi dan bihun goreng ada, selain itu kuih Melayu seperti seri muka, karipap dan kuih lapis ada juga. Semuanya mendapat sambutan daripada jemaah haji Malaysia,” kata pemuda berketurunan Arab yang boleh berbahasa Malaysia itu kepada Bernama.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan dengan 16,628 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Tinjauan penulis, sebungkus makanan bersaiz separuh bungkusan makanan nasi putih di Malaysia dijual dengan harga antara 3 riyal hingga 4 riyal (RM3.29 hingga RM4.38) manakala kuih dengan saiz bungkusan sama dijual dengan harga 2 riyal hingga 3 riyal (RM2.19 hingga RM3.29).

Bagaimanapun ujian rasa penulis mendapati nasi kerabu, nasi dagang dan laksam di sini tidak mempunyai rasa yang betul-betul serupa dengan yang terdapat di Pantai Timur, namun mampu mengubat kerinduan kepada makanan popular Malaysia itu.

Artikel Berkaitan:

Nur Fatimah, 49, seorang peniaga warung berbangsa Melayu Pattani di sini memberitahu penulis kesukaran mencari bahan yang sama seperti di Pantai Timur dan Selatan Thailand membuatkan peniaga kecil sukar menghasilkan rasa serupa.

"Susah dapat barang abe (abang), mana cari budu sini nak buat nasi kerabu. Jadi ada peniaga tukar budu dengan kicap masin cair. Telur masin jadi telur biasa. Santan kelapa juga sukar dapat, jadi laksam terpaksa guna krim atau susu," katanya.

Selain itu katanya peniaga juga agak sukar mendapatkan sayuran seperti taugeh, kacang panjang dan ulam raja membuatkan mereka menggunakan sayuran yang mudah didapati di sini seperti lobak dan kubis.

Proses adaptasi peniaga kecil itu, pada penulis, menghasilkan versi makanan Pantai Timur yang unik di sini seterusnya memperkenalkan makanan popular Malaysia itu kepada masyarakat tempatan di sini.- Bernama