Lebih baik Anwar jadi Ketua Umum semula, saran penganalisis

Anwar - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

ALOR SETAR - Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih sesuai menyandang jawatan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Presiden parti berikutan daya kepimpinannya dilihat semakin pudar, kata penganalisis politik, Md Shukri Shuib.

Menurut Md Shukri, peranan Anwar ketika menjadi Ketua Umum dilihat lebih berwibawa berbanding setelah memegang kuasa nombor satu parti itu.

Katanya, pembabitan Anwar secara langsung dalam mentadbir dan mengatur arus pergerakan PKR menyebabkan parti itu mula kelihatan seperti 'puzzle' yang berpecah dan proses mencantumkannya bukan mudah.

"Sebagai Presiden, beliau perlu memainkan peranan memupuk perpaduan dan menjadi penasihat kepada pemimpin lain supaya parti kekal kukuh.

"Anwar perlu kembali sebagai Ketua Umum demi menyatukan semula PKR dengan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pemimpin baharu yang boleh membina semula pengukuhan parti,” katanya.

Md Shukri
Md Shukri

Md Shukri berkata, kepimpinan Anwar mulai pudar akibat pergolakan dalaman parti sejak beliau mengambil alih jawatan Presiden.

“Sebelum ini, Anwar ibarat kuasa pengimbang kepada kumpulan-kumpulan kecil dalam parti, namun kini peranan sebagai pengimbang itu sudah luput apabila kedudukan beliau berubah,” katanya.

Menurut Md Shukri lagi, PKR dilihat berpecah kepada kelompok yang bersaing sesama sendiri, malah Anwar kelihatan cenderung kepada pembentukan kumpulan tersendiri.

“Seolah wujud ‘kumpulan Presiden’, ini menjadi satu dilema kepada parti,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar semua pihak menghentikan istilah bakal Perdana Menteri ketika merujuk kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Penggunaan istilah tersebut tidak sepatutnya digunakan, bukan sahaja oleh Anwar malah mana-mana individu selagi Dr Mahathir masih menyandang jawatan itu. Tidak mustahil istilah itu antara pencetus konflik parti,” katanya.

Tambahnya, ketaksuban itu juga dibimbangi menggugat kestabilan negara, institusi dan kerajaan.

“Kita harap istilah itu dihentikan penggunaannya sama ada dalam negara mahupun antarabangsa, sebaliknya pupuk semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan fokus membina negara yang kukuh,” katanya.