Projek baik pulih sekolah daif Sarawak disegerakan selepas kerajaan negeri bayar hutang

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan akan menyegerakan proses perolehan dan perbelanjaan bagi fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak berjumlah RM350 juta tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, proses itu akan dilaksanakan sebaik sahaja Kerajaan Negeri Sarawak membuat bayaran balik sebahagian daripada jumlah hutang seperti mana yang telah dipersetujui.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan Persekutuan untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif.

“Pada 30 Jun 2019, Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang dengan kerajaan Persekutuan sebanyak RM2,352 juta. Sekiranya RM1 bilion tersebut dibayar balik oleh Kerajaan Negeri Sarawak, maka Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,352 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Sarawak belum jawab tawaran pinjaman RM1b baiki sekolah daif

“Cadangan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif, sebenarnya adalah wang pendahuluan kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini.

“Sebagai bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik kerajaan Persekutuan sendiri, yang dipersetujui untuk digunakan bagi membaik pulih sekolah daif di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bayaran balik pinjaman fasa pertama sebanyak RM350 juta dalam tempoh terdekat.

Katanya, kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

“Selepas itu, beberapa perkara harus dimuktamadkan, di antaranya jadual pelaksanaan, senarai sekolah dan proses tender bagi projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan (value for money) berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

“Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih,” katanya.