SPAN kenakan tindakan jika pencemaran ada unsur sabotaj

Mohd Fazil (kiri) semasa melihat sambungan paip air yang dilakukan secara haram. (Gambar kecil: Mohd Fazil Ismail)
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang jika mendapati kejadian pencemaran air di Sungai Selangor berunsur sabotaj.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan kejadian yang berlaku dan sangat komited untuk memastikan ia tidak berulang.

Katanya, disebabkan kejadian tersebut, penduduk Selangor terpaksa mengalami masalah gangguan air.

Bagaimanapun bekalan air di negeri itu kini berada dalam keadaan terkawal.

“Terdapat 13 lori tangki dari seluruh negeri membantu membekalkan air bersih di Selangor berikutan pencemaran bau yang berlaku di Sungai Selangor.

“Kita menjangkakan lori tangki itu akan memberi bekalan sehingga 24 Julai ini selepas loji air di Selangor pulih sepenuhnya. Itu bergantung kepada situasi semasa.

“Jika ujian air yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan esok lulus, maka loji air di Selangor boleh disalurkan kepada pengguna. Kita perlu ikut piawaian standard yang ditetapkan sebelum disalurkan kepada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, sampel ujian air akan dilakukan oleh kementerian setiap masa bagi memastikan kualitinya benar-benar bersih sebelum disalurkan kepada pengguna.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan serbuan di premis tersebut di Kampung Jimah, Bandar Baru Sri Sendayan hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail.

Sementara itu, sebuah premis membancuh simen dikenakan notis oleh SPAN selepas menerima aduan daripada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) berikutan kes mencuri air.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran air disyaki tindakan sabotaj: Xavier]


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia