Kertas putih dedah sejarah wilayah autonomi Xinjiang

Kumpulan etnik minoriti Uighur didakwa berdepan penindasan melampau.
A
A

BEIJING - Pejabat Majlis Penerangan Negara China semalam mengeluarkan kertas putih tentang perkara sejarah wilayah autonomi Xinjiang yang didiami etnik minoriti Islam Uighur.

Menurut kandungan dokumen itu, Beijing adalah sebuah negara bersatu padu dan pelbagai kumpulan etnik di Xinjiang adalah sebahagian daripada negara China.

Ia juga menyatakan pembangunan wilayah barat laut itu berkait rapat dengan sejarah panjang China.

“Bagaimanapun, permusuhan di dalam dan luar Beijing terutamanya kewujudan kumpulan pemisah dan ekstremis cuba untuk memecah-belahkan negara itu dengan memutarbelitkan sejarah serta fakta,” jelas dokumen Perkara Bersejarah Mengenai Xinjiang itu.

Kertas putih itu mendakwa Xinjiang telah lama menjadi bahagian yang tidak boleh dipisahkan dengan wilayah China dan tidak pernah digelar sebagai Turkistan Timur.

“Budaya dan agama yang berbeza di Xinjiang dan etnik budaya telah dipupuk dan dibangunkan dalam peradaban China.

“Islam bukanlah sistem kepercayaan tunggal penduduk Uighur. Ia telah berakar umbi dalam kebudayaan negara ini dan berkembang kukuh di China,” menurut dokumen tersebut lagi.

Peningkatan ekstremisme di seluruh dunia didakwa menjadi punca kumpulan pemisah meningkat di Xinjiang, sekali gus menyaksikan lonjakan insiden keganasan di wilayah itu.

“Usaha memerangi keganasan dan ekstremisme di Xinjiang adalah perjuangan untuk keadilan terhadap kuasa yang kejam. Oleh itu, ia sewajarnya disokong, dihormati dan difahami semua pihak,” tambahnya lagi.

Dokumen itu menyatakan beberapa negara, pertubuhan dan individu yang berpendirian ‘double standard’ terhadap keganasan kononnya sewenang-wenangnya mengkritik usaha kerajaan China untuk membendung ekstremisme di wilayah terbabit. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia