Kertas Putih Kesihatan diluluskan di Dewan Rakyat

Dr Zaliha Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
Dr Zaliha Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas.

Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk tempoh 15 tahun itu diluluskan selepas dibahas oleh 28 Ahli Parlimen selama hampir empat jam.

Kertas Putih berkenaan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Dalam pada itu Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika sesi penggulungan dokumen berkenaan mengakui, kementerian itu akur akses kepada perkhidmatan kesihatan menjadi cabaran buat rakyat yang berdepan dengan sistem kesihatan dengan sumber terhad.

“KKM sentiasa berusaha meningkatkan akses berkenaan termasuk kepada rakyat di luar bandar. Setiap tahun kementerian menjalankan proses untuk menambahbaik kepada kemudahan di fasiliti mengikut keperluan dan peruntukan yang diterima.

“Keutamaan akan diberikan kepada aspek perancangan dan pemantauan sumber agar rakyat di luar bandar atau yang mempunyai kesukaran kepada akses dapat menerima perkhidmatan kesihatan mencukupi dan menangani ketidaksamaan sistemik,” katanya.