Dewan Negara lulus usul Kertas Putih Kesihatan

Lukanisman Awang Sauni
Lukanisman Awang Sauni
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Isnin meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan sebagai satu daripada hala tuju reformasi sistem kesihatan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, setiap tahun Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan proses penambahbaikan di fasiliti mengikut keperluan serta peruntukan yang diterima.

Beliau berkata buat masa ini kementerian dalam proses membaiki hampir 400 klinik daif di seluruh negara.

"Di Kelantan, 39 klinik kesihatan dalam proses tender dan pembinaan dan 23 klinik di Sabah akan terima peruntukan, manakala 38 klinik di Sarawak dan 42 klinik di Negeri Sembilan mendapat peruntukan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, KKM akan memulakan satu kajian jurang penawaran dan permintaan fasiliti kesihatan, peralatan serta kapasiti sumber manusia dalam masa terdekat.

Katanya kajian itu bertujuan menyemak semula keperluan sebenar sumber negara bagi keperluan kesihatan rakyat.

Lukanisman berkata, menerusi kajian itu, taburan dan keperluan fasiliti, peralatan dan anggota kesihatan untuk seluruh negara di sektor awam dan swasta dapat dipetakan serta diunjurkan hingga 2040 dengan jelas.

"Ini adalah sangat penting, memang menjadi hasrat setiap Ahli Parlimen dan senator menginginkan sebuah klinik yang besar di setiap kawasan...walaupun demikian kita tidak dapat membina klinik di setiap Parlimen dengan perkhidmatan fasiliti KKM.

"Maka kita perlu bekerja dan melakukan mapping (pemetaan) yang menyeluruh supaya kita dapat memastikan keperluan sebenar rakyat untuk mendapatkan akses hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara," katanya.

Usul dibentangkan oleh Lukanisman itu diluluskan selepas dibahaskan 27 senator.

Pada 15 Jun, Dewan Rakyat meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menerusi undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas.

Pada sesi perbahasan, Senator Abun Sui Anyit berkata, beliau berharap agar penduduk di kawasan pedalaman akan turut menikmati faedah daripada pelaksanaan kertas putih itu, selain menggesa kerajaan untuk mengambil inisiatif berhubung aspek perkhidmatan pencegahan penyakit.

Justeru, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menyediakan lebih banyak fasiliti berkaitan kesihatan termasuk klinik di kawasan pedalaman.

Persidangan Dewan Negara bersambung pada Selasa. - Bernama