Kesetiaan saya ada batasan, kata Azmin

Azmin ditemui selepas Majlis Doa Selamat Kemenangan Menolak Fitnah Terhadap Mohamad Azmin yang diadakan di Kediaman Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 di sini malam ini. FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan kesetiaannya ada batasan dan bersedia berdepan dengan orang yang pernah dikenalinya sebelum ini.

"Saya setia pada kebenaran dan keadilan tapi ada batasannya. Walaupun sebatang kara, saya tidak takut dalam perjuangan ini.

"Saya tetap perjuangkan keadilan bukan untuk keluarga saya tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia, umat Islam dan Melayu dapat pembelaan sewajarnya. Saya sedia berdepan dengan orang yang pernah saya kenali sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Majlis Doa Selamat Kemenangan Menolak Fitnah Terhadap Mohamad Azmin yang diadakan di Kediaman Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Aminudin Shari; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifudin Abdullah dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Elizabeth Wong.

Menurutnya, beliau tidak akan mengkhianati perjuangannya terhadap rakyat dan negara.

"Saya takkan khianat dengan perjuangan. Mereka (rakyat) tahu siapa Azmin Ali sebenarnya.

"Saya tidak akan dan tidak pernah khianat dalam persahabatan. Prinsip perjuangan saya adalah terhadap rakyat dan negara," katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau kecewa kerana masih ada pihak yang menggunakan politik kotor dan jijik untuk menjatuhkan karier politik seseorang.

"Saya sedia berdepan dengan ujian kerana ia bukan perkara baru. Sebab nafsu serakah, ada manusia sanggup membunuh karier politik seseorang.

"Sejak lima minggu lalu saya difitnah. Isteri, anak dan keluarga saya terpaksa menempuh fitnah dan gelombang ini dengan sabar," katanya.

Pada masa sama, beliau bersyukur apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mengesahkan beliau tidak bersalah dan bukan pelaku dalam video intim yang didakwa dikaitkan dengannya sebelum ini.

"IGP sendiri yang sahkan ada tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu dan jutaan ringgit untuk menjatuhkan saya.

"Ayuh saya tidak mahu mendiamkan diri kerana kita tidak perlu manusia seperti ini untuk memimpin kita," katanya.

Mohamed Azmin turut menyatakan beliau tahu siapa dalang di sebalik video itu namun tidak mendedahkan siapa orangnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia