Saji ayam goreng berulat, restoran diarah tutup

Ayam goreng yang dikatakan berulat (bulatan merah). Gambar kecil: Dr Zainuddin.
A
A

PORT DICKSON - Sebuah restoran mamak di Batu 6, Teluk Kemang di sini, diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati kotor.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali berkata, asil pemeriksaan dilakukan restoran itu didapati melanggar akta Peraturan-Peraturan Kesihatan Malaysia (PPKM) 2009.

"Kita sudah arahkan restoran ini ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Selain itu empat notis turut dikeluarkan kepada restoran tersebut di bawah PPKM 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, premis yang diarah tutup kebiasaannya mempunyai lebih daripada satu kesalahan dan tahap kebersihan yang sangat rendah serta perlu diambil tindakan segera.

"Pengendali makanan dinasihatkan mengambil perhatian serius serta sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan semasa menyediakan hidangan kepada pelanggan, terutamanya premis yang beroperasi 24 jam.

"Jabatan Kesihatan serta pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau serta akan memastikan mana-mana aduan yang diterima daripada pelanggan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan diadakan siasatan serta tindakan sewajarnya," katanya.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 3.16 minit dilaman sosial yang menunjukkan seorang pelanggan berang apabila keluar ulat dari ayam goreng yang dimakannya.

Pelanggan itu menyatakan tidak berpuas hati terhadap pengurusan restoran tersebut yang dianggap pengotor serta tidak menjaga kebersihan makanan disediakan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia