Dua hotel bajet baharu beroperasi diarah tutup

Penguat kuasa MPS memeriksa sebuah premis dalam operasi dijalankan pada Rabu lalu.
Penguat kuasa MPS memeriksa sebuah premis dalam operasi dijalankan pada Rabu lalu.
A
A
A

KEPONG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan dua hotel bajet yang baharu beroperasi beberapa bulan lalu ditutup selepas dikesan beroperasi tanpa lesen.

MPS dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak empat kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan perubahan struktur dalam bangunan tanpa kebenaran.

Menurutnya, beberapa barangan termasuk tilam dan perabot turut disita di hotel berkenaan yang beroperasi di Desa Aman Puri, Kepong.

"Empat kompaun dikeluarkan atas kesalahan berkaitan lesen perniagaan, ubah suai bangunan dan kacau ganggu di bawah akta, enakmen dan undang-undang kecil yang berkaitan terhadap pemilik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata, pada operasi sama, MPS turut mengenakan tindakan menarik sementara lesen dan pemotongan cagaran ke atas sebuah pusat refleksologi di Prima Gombak dan juga sebuah pusat hiburan di Desa Aman Puri kerana melanggar syarat lesen perniagaan.

Selain itu katanya, pemeriksaan lesen kritikal ke atas semua premis perniagaan di kawasan terlibat turut dilaksanakan.

Pemeriksaan ke atas sebuah hotel dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada Rabu.
Pemeriksaan ke atas sebuah hotel dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada Rabu.

"Hanya amaran lisan dikeluarkan kepada beberapa pemilik perniagaan kerana menyebabkan kacau ganggu di kaki lima hadapan premis mereka.

" Sebanyak sembilan kompaun, empat notis dan tiga tindakan sita diambil dalam keseluruhan operasi yang dijalankan pada Rabu lalu.

"Sehingga Jun lalu, MPS telah mengadakan enam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan selain operasi berkala pada setiap minggu untuk memastikan semua undang-undang dan peraturan di MPS dipatuhi," ujarnya.