Mangsa tak sempat rasa pulut kukus

Norazila Saad
Norazila Saad
A
A
A

SUNGAI BULOH - Jiran kepada seorang wanita hamil yang maut dihempap tangga rumah dalam kejadian di Kampung Matang Pagar di sini memberitahu mangsa ada memintanya untuk menyediakan pulut kukus sehari sebelum insiden menyayat hati itu berlaku.

Menurut Norazila Saad, 34, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu memintanya untuk menyediakan juadah tersebut semalam sewaktu mereka bertemu di sekitar kawasan rumah.

Namun begitu, Norazila berkata, dia merasa sedih berikutan jirannya itu tidak berkesempatan untuk menikmati juadah berkenaan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

"Kalau nak diikutkan, dia nak makan pulut itu petang ini dan semalam dia ada maklum pada saya untuk sediakan juadah itu.

"Namun saya terkejut apabila mengetahui dia terlibat dalam kejadian runtuhan tersebut dan itulah perbualan terakhir kami berdua," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil maut dihempap tangga rumah

Dalam kejadian itu, mangsa berkenaan yang dikenali sebagai Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, maut selepas dihempap tangga rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Matang Pagar di sini

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, tiga mangsa lain iaitu Mohd Radezi Abdul Aziz, 35; Shahril Apipie Mokhtar, 29 dan seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Bambang Sulistio turut maut terkena renjatan elektrik daripada kabel yang terjatuh sewaktu cuba menyelamatkan wanita terbabit.

Mengulas lanjut, Norazila berkata, mangsa juga bercadang untuk pulang ke Kelantan sewaktu sambutan Hari Raya Aidiladha nanti memandangkan dia dijangka melahirkan anak pada bulan September ini.

"Memang saya agak sedih kerana kami agak rapat. Dia juga sudah menetap di sini sejak sembilan bulan lalu.

"Dia dan suaminya sudah berkahwin sejak tiga tahun lalu dan ini merupakan bayi sulung mereka.

"Lebih menyedihkan, mereka juga sudah membuat persediaan bagi menyambut kehadiran bayinya itu dan akan pulang ke Kelantan pada hari raya ini namun tidak sempat," katanya.