Bantuan katil khas legakan Roshidah

Keadaan Syukri yang terlantar akibat strok.
Keadaan Syukri yang terlantar akibat strok.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebimbangan seorang suri rumah memikirkan keperluan katil khas untuk suaminya yang lumpuh berakhir apabila Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) prihatin menyumbangkan keperluan itu hari ini.

Roshidah Mohd Razak, 40, berkata, suaminya Syukri Mansor, 47, terkena serangan strok sejak 12 hari lalu dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pada hari kejadian dia sedang mandi untuk bersiap-siap pergi berniaga seperti biasa sebelum saya menemuinya dalam keadaan terduduk.

Sumbangan katil khas dihantar ke rumah keluarga berkenaan di Kampung Baru.
Sumbangan katil khas dihantar ke rumah keluarga berkenaan di Kampung Baru.

“Dia mengadu badannya lemah dan sempat cakap ‘Ya ALLAH beri aku kekuatan’ dua kali sebelum pengsan. Saya dapatkan khidmat ambulan untuk bawa ke hospital, ketika itu bahagian matanya dah membesar sebab memang dah ada pendarahan dalam otak.

“Dalam tempoh 12 hari ni memang saya fikir bagaimana nak uruskannya yang dijangka boleh pulang hari ini atau esok tanpa kemudahan katil khas sebab dia lumpuh. Syukur dan terima kasih kepada YWP atas sumbangan ini,” katanya ditemui ketika penyerahan sumbangan tersebut di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Roshidah mempunyai tujuh anak dan pendapatan keluarga hanya bergantung kepada suaminya yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Zaizalnizam mewakili Khalid menyerahkan sumbangan katil khas kepada Roshidah untuk kegunaan suami yang lumpuh.
Zaizalnizam mewakili Khalid menyerahkan sumbangan katil khas kepada Roshidah untuk kegunaan suami yang lumpuh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun, berkata beliau mewakili Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad selaku Pengerusi YWP menyerahkan sumbangan berkenaan.

Ujarnya, YWP sentiasa prihatin dalam memastikan kebajikan warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan terjaga dan juga mengharapkan maklumat daripada masyarakat.

“Kami akan meneliti keperluan untuk bantuan susulan keluarga ini dan tindakan lanjut akan diambil,”katanya.

Bagi orang ramai yang mahu hulurkan sumbangan boleh salurkan ke 14153020192361 (Bank Islam) atau 1411829847301920 (BSN).

Terdahulu kisah keperluan keluarga ini tular menerusi status dimuat naik aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang yang memohon perhatian Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad.