4 kes pecah kereta di kawasan masjid, surau

Salah sebuah kereta yang menjadi mangsa pecah kereta di Setiu malam semalam.
Salah sebuah kereta yang menjadi mangsa pecah kereta di Setiu malam semalam.
A
A
A

SETIU - Sebanyak empat kenderaan menjadi sasaran jenayah pecah kereta dalam tempoh kurang tiga jam di kawasan masjid dan surau melibatkan tiga lokasi berasingan di daerah Setiu dan Besut malam semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian pertama berlaku jam 9.20 malam di pekarangan Masjid Guntung Luar membabitkan dua kereta milik jemaah.

"Salah seorang mangsa merupakan guru lelaki berusia 46 yang mendengar penggera keretanya berbunyi sebaik selesai tahlil.

“Dia kemudiannya mendapati cermin tingkap sebelah penumpang hadapan Toyota Avanza miliknya pecah dan setelah diperiksa, wang tunai berjumlah RM4,600 dan seunit telefon bimbit telah hilang,” katanya.

Zulkifli berkata, selain guru tersebut, sebuah lagi kereta dipecah di lokasi sama membabitkan kerugian kurang RM400.

Menurutnya, setengah jam kemudian pula kira-kira jam 9.50 malam, sebuah kereta jenis Proton Waja yang diletakkan berdekatan sebuah surau di bandar Permaisuri pula menjadi sasaran.

“Pemiliknya seorang pembantu tadika berusia 33 tahun dari Batu Rakit, Kuala Terengganu kerugian RM1,500 membabitkan wang tunai lebih kurang RM700, sebentuk emas berbentuk bulat dan beberapa dokumen penting lain.

"Mangsa menyedari kejadian itu selepas selesai makan di sebuah kedai makan berhampiran dan mendapati cermin tingkap sebelah penumpang hadapan pecah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh individu sama, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Sebelum itu Sinar Harian difahamkan, sebuah kereta milik jemaah di Masjid Jabi, Besut turut menjadi sasaran pada 8.50 malam yang melibatkan kerugian kira-kira RM450.