Vietnam dakwa China ceroboh wilayah di Laut China Selatan

Tindakan China membina pulau buatan di Laut China Selatan membangkitkan kemarahan negara-negara yang membuat tuntutan bertindih di perairan strategik itu.
A
A

HANOI - Vietnam menuduh China menceroboh dan menuntut kapal pengintipnya supaya beredar daripada kawasan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Vietnam dan China telah lama bertelagah mengenai kawasan tersebut yang menjadi laluan kargo bernilai lebih AS$3 trilion (RM12.33 trilion) setiap tahun.

Kementerian Luar Negeri Vietnam semalam (tanpa memberi sebarang tarikh yang tepat) bertindak mengecam kehadiran kapal Haiyang Dizhi 8 dan kapal pengiringnya kerana menceroboh wilayah yang dipertikaikan.

"Ini adalah kawasan perairan Vietnam. Kami telah menghubungi China menerusi pelbagai saluran diplomasi bagi memprotes tindakan mereka.

"Kami telah meminta kapal tersebut supaya beredar dan menghormati kedaulatan Vietnam," menurut kenyataan dikeluarkan kementerian itu.

Sementara itu, Beijing tidak mengesahkan kehadiran kapalnya di Laut China Selatan sambil meminta Vietnam menghormati bidang kuasa China di laluan maritim tersebut.

China menuntut 90 peratus wilayah pertikaian berkenaan dan dilaporkan telah memulakan pembinaan infrastruktur di situ.

Selain Vietnam negara lain seperti Filipina, Indonesia, Malaysia, Taiwan dan Brunei turut membuat tuntutan bertindih di perairan strategik itu. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia