Saya tidak teruja tawaran jawatan MB: Saarani

Saarani (tiga dari kanan) dan Razman (empat dari kiri) menjulang tangan bersama bagi menunjukkan semangat kerjasama politik utuh termeterai antara UMNO dan Pas Perak bagi menghadapi PRU15 kelak.
Saarani (tiga dari kanan) dan Razman (empat dari kiri) menjulang tangan bersama bagi menunjukkan semangat kerjasama politik utuh termeterai antara UMNO dan Pas Perak bagi menghadapi PRU15 kelak.
A
A
A

KUALA SEPETANG - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan tidak teruja dengan sebarang kemungkinan tawaran jawatan Menteri Besar oleh Bersatu bagi membolehkan kedua-dua parti itu bergabung membentuk kerajaan baharu Perak.

Sebaliknya, Saarani menggesa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) lebih baik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kedudukan kerajaan PH Perak semakin tidak stabil dan tidak mengambil kesempatan menggula-gulakan dirinya dengan UMNO kononnya mahu bekerjasama membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Menurutnya, setelah termeterai kerjasama politik antara UMNO dan Pas, pihaknya komited untuk tidak mengkhianati kepercayaan diberikan Pas bagi memacu kemenangan bersama pada PRU15.

"Memang tiada tawaran itu (dikemukakan Bersatu).

"Namun bayangan jika berlaku gabungan antara UMNO dan Bersatu, UMNO ada 25 kerusi DUN, Bersatu (3 kerusi DUN) ditambah tiga kerusi DUN dipegang Pas, maka pembentukan kerajaan baharu mungkin boleh berlaku ditambah keadaan politik dalam PH semakin bergolak ketika ini.

"Cuma Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir (Mohamad) bukan ajak UMNO dan Pas sertai Bersatu secara muafakat, tetapi gesa ahli UMNO masuk Bersatu jika UMNO dibubarkan.

"Sekiranya ditawarkan jawatan MB sekalipun saya tidak akan teruja bawa UMNO sertai mereka," katanya kepada media dalam majlis Moh Mengopi Bersama Datuk Saarani Mohamad (DSM) di Matang di sini pagi ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Pemangku Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang, Kamaruddin Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, sebagai sebuah parti mempunyai 1,771 cawangan dan 240,000 ahli di Perak, beliau mempersoalkan pelawaan Dr Mahathir mengajak semua orang melayu termasuk ahli UMNO untuk menyertai Bersatu kononnya bagi memperkuatkan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Menurutnya, gesaan dibuat atas alasan beliau Perdana Menteri yang kuat adalah tidak relevan dan dakwaan orang Melayu semakin lemah sebenarnya hanya merujuk ahli Melayu menyokong PH sahaja.

"Ahli UMNO sudah mencapai 240,000 orang, sedangkan ahli Bersatu di Perak tidak tahu berapa orang, bahagian pun tidak pasti ada atau tidak, jadi macam mana kapal besar hendak masuk kapal kecil?

"Kita tetap dengan pendirian untuk terus kekal berjuang bersama Pas memenangi PRU15 dan sekiranya Bersatu ada keinginan bergabung dengan kami untuk terus kekal mentadbir kerajaan negeri pada masa hadapan, maaf kita tidak akan layan," katanya.

Ditanya mengenai isu dakwaan membabitkan dua Exco Kerajaan PH Perak mungkin mengugat kestabilan kerajaan negeri ketika ini, Saarani menegaskan pihaknya tidak campur urusan dalaman PH dan mereka perlu tanggung sendiri akibat perbuatan masing-masing.