Azmin tidak hadir bukan urusan saya, kata Tun M

Dr Mahathir bersalaman dengan Anwar ketika menghadiri Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat, di sini malam ini. - Foto Sinar Harian
A
A

PORT DICKSON - Ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semakin menjadi tanda tanya apabila beliau tiada dalam sesi khas, Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat, di sini malam ini.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohammad ketika ditanya mengenai perkara tersebut berkata, tindakan Azmin itu tiada mengena dengannya.

"Itu urusan dia, bukan urusan saya," kata beliau ringkas selepas merasmikan Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat, yang diadakan di Junior Ballroom, Lexis Hibiscus Hotel, Port Dickson.

Turut kelihatan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin dijangka menyampaikan ucapan pada hari kedua sesi pemukiman itu, esok selain disertai ucapan oleh tujuh Naib Presiden yang lain.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, yang mengatakan ada wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik, beliau enggan mengulas mengenainya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan terkini mendapati wujud pakatan atau konspirasi di belakang kumpulan terbabit untuk menjatuhkan seseorang.

Terdahulu, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia