'Jangan kaitkan dengan Azmin lagi'

Mark (duduk, empat dari kiri) bersama Gabungan Ketua Cabang dan Pimpinan Akar Umbi PKR Johor selepas sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Pahat, hari ini.
Mark (duduk, empat dari kiri) bersama Gabungan Ketua Cabang dan Pimpinan Akar Umbi PKR Johor selepas sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Pahat, hari ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Gabungan Ketua Cabang PKR Johor yakin sejak awal lagi penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah fitnah dan konspirasi terancang untuk menjatuhkannya.

Jurucakapnya, Mark Matthew berkata, beliau juga yakin kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador, semalam, bahawa pelaku di dalam video itu tidak dapat disahkan, secara tidak langsung membuktikan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak bersalah.

"Hari ini kami ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada polis kerana berjaya menyelesailan siasatan ke atas fitnah video intim yang dikaitkan dengan Azmin dan kami harap selepas ini tidak ada mana-mana pihak yang menimbulkan isu ini semula.

"Kami menolak politik jahat ini sebagaimana kami menolak tuduhan melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini iaitu dua kali tuduhan liwat dan sekali fitnah 'China Doll' dan sewajarnya tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata pada pemberita pada sidang media Gabungan Ketua Cabang dan Pimpinan Akar Umbi PKR Johor di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Pahat, di sini hari ini.

Turut hadir ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full; Ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abdul Ghani; Ketua Srikandi PKR Johor, Nur Khurul Ain Abdul Samat dan ketua-ketua cabang serta ahli PKR Johor.

Menurutnya, gabungan tersebut juga menolak budaya politik kotor serta jijik seperti ini dan kesal apabila beberapa individu direman oleh polis bagi membantu siasatan selain mengakui terkejut dengan kenyataan KPN bahawa wujud 'pakatan jahat' yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik di dalam isu video intim ini.

"Kami mendesak agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas kepada ahli-ahli parti yang terlibat dalam konspirasi jahat ini kerana masyarakat pada dunia hari ini perlu dididik dengan politik matang dan baik bukannya politik dendam dan menjatuhkan pemimpin dengan begitu kotor sekali.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga menyokong kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan 28 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya Anwar menyatukan semula ahli parti dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video ini," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengakui bahawa Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Johor melalui kumpulan aplikasi sosial, 'WhatsApp' Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Johor sebelum bertindak keluar daripada kumpulan tersebut pada 11 Julai lalu.

Menurutnya, gabungan tersebut juga sudah mencadangkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai pengerusi baharu, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.