Jangan taksub pemimpin

A
A
A

SAYA tertarik dengan rencana yang ditulis oleh Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali baru-baru ini dalam kolumnya yang bertajuk Isytihar harta bukan hal lok-lak. Artikel minggu ini turut berkait dengan isu tersebut.

Penulis ingin menarik perhatian kepada hujah-hujah yang dibentangkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sesi Dewan Rakyat baru-baru ini yang menegaskan bahawa pengisytiharan harta bertentangan dengan Islam. Ramai agamawan lain termasuk beberapa orang mufti menyanggah hujah Tuan Ibrahim sambil menyebut pengisytiharan harta telah diamalkan sejak zaman para sahabat.

Maka timbul kekeliruan dan pertanyaan, apakah perkara yang telah diamalkan pada era para sahabat, termasuk pada zaman Saidina Umar bercanggah dengan Islam? Atau, apakah yang dulu dibenarkan dalam Islam tetapi secara tiba-tiba pada era siber yang serba canggih sekarang ini menjadi sesuatu yang diharamkan?

Penulis mengambil ingat bahawa lima tahun dahulu ketika tidak sebulu dengan UMNO, isytihar harta dibolehkan. Anehnya sekarang setelah Pas berbaik-baik dengan parti terbesar Melayu itu, isytihar harta dikatakan bercanggah dengan Islam.

Dalam isu yang sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berpendapat bahawa pengisytiharan harta adalah konsep atau idea komunis dan sosialis yang dipromosikan atau didalangi oleh DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Erti kepimpinan

Sikap berubah pendirian dalam hal-hal politik, khususnya dalam pendekatan, strategi, kaedah dan cara untuk mencapai matlamat adalah sesuatu yang lumrah. Berubah dengan mengambil kira realiti dan hakikat politik semasa.

Kita melihat dan menerima perubahan dalam pendirian politik yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan juga pihak pembangkang sebagai fenomena yang tidak menghairankan kerana kita tahu dan memahami bahawa perubahan khususnya ke arah kebaikan adalah fitrah manusia untuk menjamin survival dan kejayaan perjuangan.

Tetapi apabila perubahan melibat atau menyentuh hal-hal hukum dan prinsip agama, ia perlu dilihat dan dinilai dari akidah, tauhid dan feqah kerana pada akhirnya ia akan membabit soal halal dan haram, haq dan batil, betul atau tidak betul.

Artikel Berkaitan:

Bila pemimpin-pemimpin sekular terjebak dengan fenomena ini kita tidaklah rasa pelik dan hairan sangat kerana gaya kepimpinan mereka tidak terbatas dengan hal-hal hukum dan prinsip agama. Tetapi bila pemimpin-pemimpin Islam daripada Pas mahupun parti-parti lain yang berteraskan agama mengikuti fenomena yang sama, kita semua naik ralat dengan keruntuhan moral dan nilai politik hari ini.

Dalam perkembangan politik yang sedang berlaku dengan pesatnya, penyokong setiap parti atau pemimpin perlu lebih kritis menilai kepimpinan mereka. Penyokong sekarang mempunyai banyak akses untuk mendapat maklumat dan huraian tentang tindak-tanduk parti atau pemimpin untuk membolehkan mereka menilai dan mentelaah keadaan dengan lebih bijak dan matang.

Penyokong perlu banyak membaca, khususnya daripada sumber-sumber alternatif dan mengambil sikap berlapang dada dan terbuka dalam menilai satu-satu isu bersandarkan ilmu pengetahuan yang ada. Bukan lagi mengikut secara membuta tuli semata-mata yang berkata-kata itu ialah seorang ustaz, imam ataupun tok guru.

Kita berharap dalam era di mana menimba ilmu telah menjadi lebih mudah dan murah serta dipacu oleh dunia internet, ummah Islam tidak mengabaikan peluang untuk menjadi insan yang lebih bijak dan celik.

Ayat pertama yang diturunkan ALLAH SWT kepada kita iaitu Iqra' atau baca. Baca agar kamu mengerti dan memahami. Kerana melalui pengertian dan pemahaman, ketakwaan kamu kepada-Nya akan bertapak kepada sesuatu yang kukuh, bukan menjadi pengikut somberono. Guna akal fikiran yang Dia berikan kepada kita dengan sebaiknya. Semoga kita dalam satu proses penghijrahan ke arah pembentukan satu ummah yang lebih baik dan Islam yang lebih syumul.