JBPM harap kerajaan pertimbang elaun kritikal bomba

Datuk Mohammad Hamdan Wahid
Datuk Mohammad Hamdan Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 kepada anggota JBPM.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata beliau percaya kerajaan kini adalah kerajaan yang cakna dengan kebajikan rakyat termasuklah komuniti bomba.

"Kami percaya kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan ke arah kebajikan dan kerajaan yang prihatin dengan keperluan komuniti dan rakyat, termasuk komuniti bomba.

“Melihat kepada jasa juga tugas cabaran yang bomba hadapi, kami percaya bahawa kerajaan akan memberi pertimbangan yang sewajarnya dan warga bomba amat mengharapkan pertimbangan ini akan diputuskan dalam masa yang terdekat," katanya

Beliau berkata kepada media selepas majlis perasmian 1st Malaysia International Rescue Extruction Challenge (MIREC) 2019 yang julung kali diadakan oleh JBPM, di sini, hari ini.

Pada 8 Julai lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memaklumkan pemberian elaun tersebut tidak dapat dilaksanakan tahun ini kerana pihaknya perlu melalui beberapa prosedur serta melihat kedudukan semasa kewangan negara.

Terdahulu, Mohammad Hamdan menyaksikan majlis MIREC yang mendapat penyertaan 63 anggota bomba dari lapan buah negara dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Macau, Hong Kong, Singapura, Filipina dan Vietnam.

Penganjuran MIREC ini merupakan salah satu program pengisian kepada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 yang akan diadakan di Dataran Merdeka 20 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

Ia juga menjadi pentas kepada komuniti bomba dari negara yang terlibat untuk bertukar idea dan pandangan serta mempelajari perbezaan sistem yang terdapat dalam kebombaan dan juga penyelamatan di negara masing-masing.

"Ini merupakan satu penyertaan untuk mereka menyahut cabaran daripada aspek penyelamatan dalam kemalangan jalan raya dan kami juga ambil peluang ini untuk berinteraksi dengan institusi bomba luar negara terutama sekali negara-negara yg mempunyai fasiliti terbaik seperti Hong Kong, Singapura dan Macau,” katanya. - Bernama