[DIKEMASKINI] Perompak larikan 320 kambing, penternak rugi RM300,000

Osman (dua dari kiri) ketika melihat ladang kambingnya yang disamun.
Osman (dua dari kiri) ketika melihat ladang kambingnya yang disamun.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengusaha ladang kambing mengalami kerugian kira-kira RM300,000 apabila 320 ekor kambing kambing jenis boer dilarikan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di ladangnya di Seelong dekat Kulai dua hari lepas.

Pemilik Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, ketika kejadian, dua pekerjanya yang berusia 39 dan 42 tahun sedang menyiapkan makan malam selepas sibuk mengurus ladang berkenaan sebelum secara tiba-tiba diserang lapan lelaki yang memakai topeng serta bersenjatakan parang.

"Kedua-dua pekerja saya diikat kaki dan tangan lalu diletakkan di dalam sebuah kontena.

"Sudah lima tahun mereka bekerja di ladang ini dan sebelum ini, mereka berjaya menghalang cubaan samun namun kali ini, mereka tidak mampu berbuat apa-apa apabila penjenayah memecah masuk dari belakang dan mengacukan parang," katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Kulai kelmarin.

Osman masih lagi mempunyai bekalan stok Hari Raya Aidiladha.
Osman masih lagi mempunyai bekalan stok Hari Raya Aidiladha.

Osman, 51, berkata, akibat kejadian itu kedua-dua pekerjanya turut mengalami kecederaan ketika cuba melawan.

"Walaupun saya kerugian kerana kambing yang dilarikan itu sudah ditempah untuk kegunaan akikah dan Hari Raya Aidiladha, namun saya bersyukur kedua-dua pekerja saya selamat kerana nilai nyawa mereka lebih tinggi daripada nilai kambing," katanya yang turut terkenal dengan penganjuran Program Akikah RM1 sempena Maulidur Rasul sejak lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis sedang berusaha mengesan kesemua suspek kejadian," katanya.