Perbicaraan kes 1MDB Najib tetap diteruskan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetap diteruskan bermula 19 Ogos ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sekali lagi menolak permohonan pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak notis usul yang dikemukakan pasukan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan kes SRC International selepas mendapati tiada sebab munasabah untuk membenarkan permohonan itu.

Dalam keputusannya Collin berkata, penangguhan perbicaraan sesuatu kes boleh dipertimbangkan untuk ditangguhkan atas dua alasan termasuk membabitkan isu ketiadaan saksi, atau sebab lain yang munasabah.

"Kes ini (1MDB) juga merupakan kes berkepentingan awam dan perlu dijalankan tanpa kelewatan dan penangguhan.

"Alasan bahawa perbicaraan kes SRC sedang berlangsung bukanlah satu alasan munasabah untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB," katanya.

Tambahnya, walaupun telah didakwa hampir setahun lalu, namun tertuduh (Najib) masih belum dibicarakan dalam kes ini.

Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah akan lebih fleksibel sekiranya terdapat permohonan kedua-dua pihak untuk melapangkan tarikh perbicaraan (1MDB) bagi memberi laluan kepada SRC.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes tersebut bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos dan akan bersambung sepanjang bulan September dan Oktober hingga 14 November kecuali pada hari Jumaat dan cuti umum.

Artikel Berkaitan:

Pendakwa Raya yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas memohon supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana perbicaraan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib sedang berlangsung ketika ini.

Pasukan pendakwaan yang mengendalikan perbicaraan tuduhan berkaitan SRC International sebelum ini mengemukakan beberapa permohonan secara lisan supaya perbicaraan melibatkan 1MDB sebelum memfailkan notis usul pada 11 Julai lalu.

Melalui afidavit permohonan itu, Tommy berkata, penangguhan perbicaraan kes 1MDB dibuat kerana perbicaraan kes SRC yang bermula 3 April lalu dan berterusan sehingga 15 Ogos ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurutnya, perbicaraan SRC sedang berjalan manakala tarikh bicara 1MDB seperti ditetapkan sebelum ini terlalu dekat.

"Bagi tujuan perancangan perbicaraan, adalah mustahil untuk perbicaraan kes SRC dapat ditamatkan pada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 16 Ogos ini. Maka wajarlah permohonan (penangguhan) ini," katanya.

Sementara itu, peguambela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bersetuju dengan permohonan Tommy turut berhujah bahawa kes anak guamnya akan diprejudiskan sekiranya kedua-dua perbicaraan dijalankan sekali.

Malah menurut Muhammad Shafee, anak guamnya (Najib) diprejudiskan apabila pasukan pembelaan bagi kes SRC dan 1MDB adalah terdiri daripada pasukan yang sama.

“Pasukan peguam bela perlu membuat persediaan bagi kedua-dua kes yang berbeza pada waktu sama oleh itu meneruskan perbicaraan kes berlainan memperjudiskan anak guam saya," ujarnya.

“Keadaan itu menyebabkan penindasan berlaku terhadap pembelaan memandangkan banyak dokumen yang perlu dikaji,” katanya.

Menurut Muhammad Shafee, beliau juga mempunyai kes lain di mahkamah berlainan di mana tarikh perbicaraan juga telah ditetapkan pada November 2019 hingga awal tahun depan.