Pindaan had umur mengundi belum berkuat kuasa: SPR

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan pindaan bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun masih belum dikuatkuasakan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Azhar Azizan Harun.

“Undang-undang ada tarikh berkuat kuasa. Untuk pindaan ini belum ada tarikh berkuat kuasa. Jadi ia belum berkuat kuasa.

“Sehingga ke tarikh berkuatkuasanya pindaan tersebut, pendaftaran masih perlu dibuat secara konvensional. Yang 18 tahun pun belum boleh mengundi,” katanya pada sidang media selepas forum 'Make A Change Let’s Do It Together' anjuran SPR di sini hari ini.

Menurut Azhar, apabila tarikh kuat kuasa ditentukan barulah pindaan itu akan diwartakan.

“Waktu itu barulah automatik 18 tahun boleh mengundi. Saya harap tidak ada kekeliruan mengenai perkara ini,” katanya.

Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Azhar berkata, tarikh kuat kuasa pindaan tersebut belum ditentukan kerana badan itu perlu menyelesaikan beberapa perkara seperti pewujudan sistem untuk membuat pendaftaran secara automatik dan isu yang melibatkan alamat pemilih.

“SPR perlu data dari sekurang-kurangnya tiga agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan. Data itu perlu diselaraskan dengan sistem SPR. Kena wujudkan dulu sistem,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azhar berkata isu alamat pemilih juga perlu diatasi terlebih dahulu kerana jika dibuat pendaftaran automatik akan timbul masalah seperti alamat yang tidak wujud, dengan memberikan contoh Flat Pekeliling yang sudah tiada dan begitu juga Sulaiman Court yang kini menjadi pusat membeli-belah Sogo.

Katanya SPR juga memerlukan masa untuk menjalankan libat urus dengan agensi kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau berkata berkata SPR akan melapor mengenai kesediaannya dari semasa ke semasa supaya semua pihak boleh tahu tahap kesediaan SPR.

“Apabila tahap kesediaan sudah capai 100 peratus maka pada masa itu saya rasa pihak yang terlibat akan menentukan tarikh kuat kuasa, kemudian kita akan wartakan,” katanya. - Bernama