Sungai Tuang hitam bukan punca najis khinzir

Kok Kiew ketika menjawab soalan tambahan Nor Azman ketika Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Kok Kiew ketika menjawab soalan tambahan Nor Azman ketika Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menafikan perubahan air Sungai Tuang, Pengkalan Balak yang hitam hingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan berpunca daripada air kumbahan penternakan khinzir.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, pihaknya mendapati penternak-penternak melakukan proses mendapan bermula dari kolam satu hingga kolam ketiga sebelum air yang betul-betul bersih dilepaskan ke parit, seterusnya ke Sungai Tuang.

Menurutnya, keadaan pengurusan di kawasan penternakan tersebut juga dipantau secara berkala dan keadaan pengurusan mereka juga lebih baik berbanding sebelum ini setelah kerajaan negeri memberikan keyakinan kepada mereka untuk mengeluarkan lesen sekiranya tempat itu diuruskan dengan baik selain menggunakan teknologi moden.

"Dulu pernah berlaku ada penternak tidak bertanggungjawab melepaskan air terus ke parit dan kita telah bagi amaran dan mereka mesti mengikut proses yang ditetapkan.

"Ketika kerajaan negeri terdahulu, mereka tidak berani naik taraf sistem penternakan kerana tidak diberikan jaminan kerajaan nak bagi lesen, setelah kita beri keyakinan, mereka telah tambah baik kaedah yang lebih moden, pencemaran minimum, kandang tertutup dan kurang penggunaan air, dalam masa sama akan bantu penduduk sekiranya pencemaran berlaku," katanya.

Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) ketika Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Malah katanya, tiga teras utama yang diberikan perhatian termasuk pertumbuhan hijau dan mampan yang berperanan mengawal pencemaran serta meningkatkan kualiti air dan akan memberi pelbagai cadangan untuk dilakukan dari masa ke semasa bagi mengawal situasi air.

Mengulas lanjut, Kok Kiew berkata, Jabatan Alam Sekitar sering membuat pemantauan secara berkala dari masa ke semasa dalam memastikan kualiti air dengan harapan berlaku peningkatan dari kelas keempat kepada kelas ketiga dan dari kelas ketiga kepada kelas kedua.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada sebarang aduan (sungai) buat aduan, jangan tunggu dewan ini sahaja. Kalau ada air sungai tercemar, hitam kita akan siasat," katanya.