SME Corp anjur Minggu Keusahawanan dan PKS 2019, promosi produk tempatan

A
A
A
SME Corp Malaysia (SME Corp) terus komited mengiktiraf peranan dan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi negara menerusi penganjuran Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 anjuran SME Corp Malaysia (SME Corp).

Program itu dijadual menjelajah ke Alor Setar, Kedah bermula 24 hingga 28 Julai 2019 dan ia merupakan siri jelajah kedua selepas penganjuran di Sibu, Sarawak pada 12 hingga 14 Julai baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said berkata, penganjuran yang memasuki tahun kelapan itu diwujudkan sebagai salah satu platform kepada PKS untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mereka selain memberi peluang dan akses yang lebih besar dalam membantu PKS tempatan mengembangkan pasaran.

“Sepanjang tempoh itu, pelbagai program dan aktiviti telah dirancang bagi mempergiatkan aktiviti perniagaan serta menampilkan keupayaan PKS sebagai tulang belakang ekonomi,” katanya pada Sinar Live hari ini.

Katanya, Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 itu dianjurkan di lima zon berbeza di seluruh negara membabitkan pelbagai agensi, kerajaan Negeri, institusi kewangan, universiti, badan-badan korporat, pasar raya besar dan persatuan industri.

Pelbagai aktiviti disediakan

Sebanyak 800 pempamer terdiri daripada usahawan PKS pelbagai industri terlibat di semua peringkat wilayah dengan sasaran RM25 juta jualan potensi.

SME Corp juga menyasarkan seramai 300,000 pengunjung bakal memeriahkan acara sepanjang Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 itu.

Program yang bakal disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof itu terbuka kepada semua usahawan dan orang ramai secara percuma bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Artikel Berkaitan:


Pada tahun ini, Minggu Keusahawanan dan PKS dianjurkan di peringkat wilayah bermula di Sibu, Sarawak diikuti Alor Setar, Kedah (Taman Jubli Emas), Dataran Teluk Chempedak, Kuantan, Pahang (26 hingga 28 Julai), Dataran Tangkak, Johor (1 hingga 4 Ogos) dan Tawau, Sabah pada 2 hingga 4 Ogos depan.

“Sebanyak 95 aktiviti diadakan bagi memberi manfaat kepada usahawan dan bakal usahawan antaranya seminar dan bengkel, pameran dan karnival jualan, demo dan pertandingan, Pocket Talk, Kidd@Preneur, Business Pitching dan sesi perkongsian.

“Program lain yang turut diadakan adalah khidmat nasihat perniagaan, pemadanan perniagaan dengan pasar raya besar, jejak PKS, bicara usahawan selebriti, trak makanan dan karavan tani,” katanya.

Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 terbuka kepada semua usahawan PKS kategori mikro, kecil dan sederhana. Pendaftaran pula boleh dibuat di setiap pejabat SME Corp Malaysia Negeri.

Mula Berdikit - Azam Melangit

Bertemakan ‘Mula Berdikit - Azam Melangit’, penganjuran kali ini masih mengekalkan tema yang sama sejak tahun 2012.

“Tema ini dikekalkan bagi menggambarkan walaupun pada dasarnya PKS hanyalah usahawan bersaiz kecil, namun tiada yang mustahil dalam memastikan pertumbuhan dan pembangunan PKS di Malaysia sehingga ia dilihat sebagai penyumbang utama dan menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Sebanyak 98.5 peratus daripada keseluruhan pertubuhan perniagaan di negara ini adalah dalam kalangan PKS iaitu kira-kira satu juta usahawan dari pelbagai industri,” katanya.

Menurut Noor Azmi, dalam merangka aktiviti Minggu Keusahawanan dan PKS 2019, SME Corp. Malaysia melihat kepada keperluan dan senario sebenar dunia keusahawanan sekarang.

“Pendekatan melalui program ini adalah menjurus kepada penyebaran maklumat mengenai bantuan dan khidmat nasihat serta aktiviti promosi pada skala yang lebih besar. Pada masa sama dapat mendekati usahawan-usahawan di seluruh negara.

“Malah usahawan juga dapat menimba ilmu pengetahuan dan meluaskan lagi jaringan perniagaan melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan antaranya permadanan perniagaan, seminar, khidmat nasihat perniagaan dan banyak lagi selain membantu meningkatkan jualan menerusi karnival dan pameran,” katanya.

Bagi bakal usahawan, aktiviti-aktiviti yang dirancang diharap dapat menarik minat mereka untuk terus meneroka peluang-peluang perniagaan serta membantu untuk memulakan perniagaan dalam bidang yang bersesuaian.

Selain itu, penganjuran program diharap dapat memupuk budaya keusahawanan terutamanya di kalangan generasi muda serta berfungsi sebagai platform penyebaran maklumat mengenai pembiayaan dan program pembangunan PKS.