Kesiagaan mendepani anak muda

A
A
A

APABILA Rang Undang-undang (RUU) pindaan turunkan had umur mengundi mendapat sokongan majoriti 2/3 di Parlimen Selasa lepas, ramai yang sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kepada yang masih ketinggalan, RUU itu menyentuh perenggan (a) Perkara 119 dan perenggan (b) Perkara 47 dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan umur seseorang warganegara layak untuk mengundi dan menjadi ahli Dewan Negara (Senator) diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Maknanya, selepas ini kalau semuanya selesai, anak muda akan diberi hak dan tanggungjawab untuk mencorakkan negara bukan sahaja sebagai pemilih tetapi juga sebagai pemain politik. Sudah tentulah perubahan ini adalah sesuatu yang positif buat anak muda, yang sebelum ini terpencil dan tidak diendahkan dalam politik arus perdana walaupun sudah 14 kali pilihan raya umum negara dijalankan.

Sebab itu, salah satu perkara yang banyak diperkatakan dalam perubahan RUU ini ialah kalau ia diluluskan, adakah semua pihak bersedia untuk menerimanya? Ini kerana di sebalik penerimaan positif terhadap perubahan ini, masih ramai juga yang skeptikal dan was-was untuk menerimanya disebabkan faktor usia yang muda dan mentah yang mungkin terdedah kepada eksploitasi dan propaganda politik sempit mana-mana pihak, apatah lagi ia berkaitan dengan memilih kerajaan yang akan menentukan masa hadapan seluruh warganegara. Jadi sewajarnya ada keperluan untuk berasa sedemikian.

Khamis lalu penulis berkesempatan untuk menghadiri wacana anjuran akhbar Sinar Harian yang bertajuk ‘Mengundi Umur 18 tahun: Siapa Yang Untung?’ yang disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tiga lagi ahli panel yang lain iaitu Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Menariknya kesemua panel bersetuju bahawa perubahan umur ini adalah perlu dan tidak ada mana-mana parti yang akan beruntung daripada perubahan ini atas dasar sifat anak muda yang non-partisan, liberal, taktikal dan bersifat issue-based.

Konteks

Malah mereka semua menyuarakan kebimbangan parti masing-masing dalam konteks kesiagaan. Ini disebabkan penurunan had umur mengundi itu akan meningkatkan pertambahan jumlah pengundi sebanyak setengah juta setiap tahun dengan jangkaan 21 juta pengundi bakal memilh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding 15 juta pada PRU14 lalu.Kalau melihat kepada jumlah tersebut, lagi besarlah cabaran buat parti politik dalam menyusun agenda, strategi propaganda, material dan bahan berkempen serta pendekatan masing-masing dalam memancing undi. Persaingan itu dijangka bertambah sengit dengan pertambahan pengundi muda dalam lingkungan umur 18-25 tahun yang bakal mengundi buat kali pertama. Kalau PRU14 memperlihatkan bagaimana undi orang muda yang kecil tetapi signifikan membawa kepada perubahan landskap politik negara, bayangkan pula apa yang bakal berlaku kalau jumlah mereka bertambah besar dalam PRU15 kelak.

Sebab itu survival mana-mana parti politik, baik kerajaan mahupun pembangkang akan dicorakkan berdasarkan sejauhmana mereka itu mampu bersaing dan menjadi relevan kepada pengundi kelompok itu kelak.

Dalam usaha menarik undi mereka, parti-parti politik perlukan satu perancangan yang jelas dan mampu mengenal pasti isu-isu yang berkaitan dengan golongan tersebut. Sebagai permulaan, kalau kelompok umur 18-25, isu-isu pendidikan yang berkaitan dengan akses dan pembiayaan (kemasukan ke universiti dan bidang pengajian, isu PTPTN dan biasiswa) serta peluang pekerjaan adalah isu utama untuk mereka.

Artikel Berkaitan:

Begitulah hebatnya cabaran yang bakal dihadapi oleh parti-parti politik selepas ini. Dengan menurunkan umur mengundi, landskap politik negara akan lebih sukar dijangka dan diramal.

Dengan perubahan yang bakal dilakukan seiring dengan penurunan umur ini, terutamanya dalam konteks institusi dan sistem dalam memastikan ia kondusif untuk membolehkan anak muda benar-benar memanfaatkan perubahan yang telah dibuat, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa parti politiklah yang harus menjadi pihak pertama untuk berubah.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)