Chai sahkan beri sumbangan kepada parti lain selain UMNO

Tan Sri Chai Kin Kong
Tan Sri Chai Kin Kong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd Tan Sri Chai Kin Kong hari ini mengesahkan beliau ada memberi sumbangan kepada parti politik lain selain UMNO yang memerintah pada ketika itu.

Chai, 60, memaklumkan demikian kepada Mahkamah Tinggi semasa disoal balas peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pada hari kelapan perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Tan: Adakah ini kali pertama Tan Sri buat sumbangan politik?

Chai: Bukan kali pertama.

Tan: Adakah benar Tan Sri membuat sumbangan politik kepada parti memerintah (UMNO) dan parti politik lain?

Chai: Ya, ada.

Soalan serta jawapan saksi pendakwaan ke-19 itu diterjemah oleh jurubahasa mahkamah daripada bahasa Kantonis ke dalam bahasa Melayu.

Selain itu, Chai juga berkata beliau tahu Barisan Nasional (BN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan PRK Kuala Kangsar, Perak, pada Jun 2016.

Artikel Berkaitan:

Tan: Adakah kamu setuju Tengku Adnan meminta sumbangan (RM2 juta) daripada kamu kerana kamu percaya sumbangan itu adalah untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar?

Chai: Setuju.

Sementara itu, Chai yang mengenali Tengku Adnan lebih 30 tahun berkata beliau menerima resit rasmi pembayaran RM2 juta sumbangan politik itu daripada Tengku Adnan sendiri pada 14 Jun 2016.

"Saya menerima resit selepas dua hari cek (RM2 juta) diberikan," katanya.

Tan: Oleh kerana ini adalah cek syarikat, adakah Tan Sri terima surat akuan terima, dokumen atau resit bagi merujuk bahawa pembayaran telah diterima?

Chai: Ada dalam poket (blazer) saya sekarang.

Tan: Adakah ini sekeping resit rasmi yang dikeluarkan oleh UMNO untuk sumbangan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebanyak RM2 juta pada 14 Jun 2016?

Chai: Ya.

Terdahulu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim mengapa Chai membuat keputusan untuk memberi sumbangan (RM2 juta) kepada Tengku Adnan, saksi itu menjawab “Pada masa itu, BN masih kerajaan. Bukan kepada BN sahaja saya beri sumbangan tetapi juga kepada sekolah, persatuan serta sumbangan kepada orang yang memerlukan”.

"Kenapa beri sumbangan kepada Tengku Adnan ketika diminta?," tanya Julia.

"Sebab Tengku Adnan memberitahu bahawa pihak UMNO perlukan," jawab Chai.

Semalam, Chai dalam penyataan saksinya mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Tengku Adnan yang telah meminta sumbangan daripada beliau untuk dana politik.

Chai memberitahu bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu ada menyatakan bahawa UMNO memerlukan dana politik kira-kira RM5 juta hingga RM6 juta untuk pilihan raya kecil.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung. - Bernama