Sudah tiba masa untuk kenakan kompaun perokok

A
A

MERAK Jalanan amat sensitif kepada asap rokok. Sebelum penguatkuasaan larangan merokok di restoran, Merak Jalanan akan memilih restoran yang bebas asap dan bau rokok.

Apabila Kementerian Kesihatan bersungguh-sungguh mahu menguatkuasakan larangan berkenaan, Merak Jalanan rasa amat gembira kerana tidak perlu lagi menghidu asap toksik yang dilepaskan orang lain.Kita tak suka nak hidu tapi perokok-perokok yang pentingkan diri ini paksa kita sedut asap yang dilepaskan mereka yang mengandungi pelbagai racun berbahaya.

Bukan sahaja orang dewasa, malah kanak-kanak juga jadi mangsa!

Pada awal larangan merokok di restoran pada 1 Januari lalu, nampak ramai yang tak berani nak hisap rokok di restoran. Jika ada yang curi-curi hisap pun mata mereka meliar bimbang ada kelibat individu beruniform putih datang kenakan kompaun.

Namun ketika ini ada yang sudah berani melanggar peraturan itu. Mereka berpandangan mereka masih boleh merokok kerana Kementerian Kesihatan telah melanjutkan kempen pendidikan sehingga Disember ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi memberikan peluang secukupnya kepada perokok meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

Pada pandangan Merak Jalanan, tidak perlu tempoh yang lama untuk mendidik perokok ini kerana mereka bukannya belum baligh. Rata-ratanya kita sudah tahu kesan buruk kepada orang jika merokok di restoran. Malah mereka juga faham benar mudarat kepada diri sendiri.Kementerian Kesihatan sepatutnya kerahkan petugas-petugas mereka secara berperingkat untuk kompaun perokok-perokok degil ini.

Alang-alang nak kuatkuasakan undang-undang biar tegas dan jangan tunggu lama-lama. Bila dah lama mereka akan kembali ke tabiat lama!