Azmin minta Shamsul Iskandar jangan jadi munafik

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa agar pemimpin dan penjawat awam yang terpalit dengan salah laku supaya bercuti.

Menurut laporan Malaysiakini, Mohamed Azmin turut mengingatkan Shamsul Iskandar agar tidak menjadi ‘munafik’.

“Jangan jadi munafik,” katanya ringkas sambil ketawa kecil selepas sesi Dewan Rakyat hari ini.

Azmin yang juga Menteri Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata demikian selepas ditanya pemberita berhubung cadangan Shamsul Iskandar agar pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku supaya bercuti.

Dalam kenyataan media sebelum itu, Shamsul Iskandar menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku supaya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya.

Walaupun tidak menyebut secara langsung, kenyataan Shamsul Iskandar itu dipercayai merujuk kepada Mohamed Azmin yang dikaitkan dengan video intim bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Katanya, tindakan itu penting bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil.

Shamsul Iskandar juga menegaskan bahawa jasa bakti serta kedudukan seseorang itu tidak boleh mengaburi kedaulatan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Azmin dikaitkan dengan Haziq setelah beberapa rakaman video intim tersebut yang didakwa mirip wajahnya tersebar sejak sebulan lalu.

Haziq mengaku merupakan individu dalam video tersebut manakala Mohamed Azmin menafikan dirinya terlibat dan mendakwa ia adalah komplot untuk memusnahkan karier politiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Video intim: Haziq, lima individu direman enam hari

Semalam, Haziq bersama lima lagi direman bagi membantu di bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan, berkaitan pengedaran bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua individu itu ditahan bagi membantu siasatan dipercayai terlibat dalam konspirasi merakam video intim berkenaan.

"Kesemua mereka direman selama enam hari sehingga Sabtu ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.