Tanah milik DBKL tak boleh dijual tanpa persetujuan Menteri Wilayah Persekutuan

Tan Sri Ahmad Phesal Talib
Tan Sri Ahmad Phesal Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak boleh dijual tanpa persetujuan Menteri Wilayah Persekutuan.

Ahmad Phesal, 65, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata, menurut Seksyen 101(1)(r)(i) Akta Kerajaan Tempatan 1976, pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menjual, memajakkan atau melupuskan mana-mana harta alih atau harta tak alih pihak berkuasa tempatan (Datuk Bandar Kuala Lumpur) dengan syarat tiada apa-apa penjualan atau pemberimilikan lain harta tak alih boleh berlaku tanpa persetujuan Pihak Berkuasa Negeri.

"Tafsiran Pihak Berkuasa Negeri menurut Seksyen 2 akta ini ialah ‘berhubungan dengan Wilayah Persekutuan’, ertinya Menteri (pada masa itu Menteri Wilayah Persekutuan ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan," katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ketujuh perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Ahmad Phesal, yang memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bermula 18 Julai 2012 hingga 17 Julai 2015 berkata, selepas Tengku Adnan bersetuju untuk menjual tanah itu, pihak Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan (JPEPP) akan menyediakan surat tawaran yang mengandungi syarat-syarat tertentu berkaitan dengan penjualan dan pembangunan tanah DBKL kepada pihak pemaju.

Berkenaan tanah-tanah DBKL yang telah dibeli dan dimajukan oleh pemaju swasta, Ahmad Phesal berkata, sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, terdapat 10 bidang tanah yang telah dibeli dan dimajukan oleh Pengarah Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong.

"Tanah ini dibangunkan untuk perumahan mampu milik selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menyiapkan 80,000 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RUMAWIP KL) dalam masa lima tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata, selain Aset Kayamas, syarikat-syarikat yang digunakan oleh Chai untuk membeli tanah-tanah DBKL bagi melaksanakan projek perumahan mampu milik adalah Syarikat Sinerjuta Sdn Bhd, Syarikat Faber Vista Sdn Bhd dan Syarikat Era Ecoland Sdn Bhd.

Ahmad Phesal turut memaklumkan bahawa syarikat Aset Kayamas ada membuat permohonan untuk membeli dua lot tanah DBKL di Bandar Tun Razak bagi tujuan pembangunan projek rumah mampu milik namun permohonan itu telah ditolak kerana pihak DBKL mempunyai perancangan sendiri ke atas tanah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Aset Kayamas kemudiannya membuat rayuan pertimbangan untuk penjualan tanah-tanah lot 53427 & lot 53653 melalui surat bertarikh 20 April 2015 yang ditujukan kepada Tengku Adnan.

"Saya kemudian mengadakan perbincangan lanjut bersama Tengku Adnan dan hasil daripada perbincangan itu, menteri (Tengku Adnan) mengarahkan saya membawa urusan pembelian tanah DBKL ke mesyuarat pusat setempat (OSC).

"Hasil perbincangan awal, kami bersetuju sebahagian tanah seluas 0.5 ekar perlu diperuntukkan bagi penyediaan asrama," katanya.

Menurut Ahmad Phesal, sebelum dibawa ke mesyuarat OSC, perkara itu telah dibincangkan di dalam Mesyuarat PANDU Projek-Projek Penswastaan DBKL pada 27 April 2015 yang memutuskan tiada halangan untuk menjual kedua-dua lot tanah berkenaan.

Disoal Julia siapa yang mempengerusikan mesyuarat PANDU, Ahmad Phesal menjawab: "saya".

Saksi itu turut memberitahu perkara itu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa OSC Khas yang dipengerusikan oleh Tengku Adnan pada 14 Mei 2015 yang kemudiannya mesyuarat memutuskan untuk meluluskan cadangan pembangunan rumah mampu milik, rumah pegangan bebas dan pembinaan asrama DBKL di atas kedua-dua lot tanah dengan beberapa syarat teknikal yang perlu dipenuhi.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung petang ini. - Bernama