Pulau Pinang atur taklimat untuk Anwar

A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mengatur taklimat secara menyeluruh mengenai projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menerima permintaan itu daripada Anwar pagi tadi dan bersetuju mengatur taklimat tersebut seperti yang diminta.

"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan wakil rakyat yang berminat untuk menyertai taklimat tersebut yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat," katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengumumkan akan berjumpa dengan Kon Yeow untuk berbincang dan mendengar penjelasan mengenai projek berkenaan.

Anwar berkata, perjumpaan tersebut sebagai salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah nelayan tradisional yang terjejas dengan projek mega bernilai RM46 bilion itu.

Pada 11 Julai lalu, satu himpunan menolak projek PSR di Pulau Pinang diadakan di sekitar Tugu Negara, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Koordinator Forum Pulau Pinang, Khoo Salma Nasution.

Susulan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan meneliti memorandum bantahan dibuat kumpulan berkenaan, selain kerajaan Pusat juga akan mengambil tindakan sesuai jika dakwaan yang dinyatakan berasas.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar jumpa Kon Yeow bincang projek tambak laut