Keracunan makanan: Kerajaan Perak kumpul data

Abdul Aziz menunjukkan notis penutupan sementara kantin SK Cator Avenue selepas lapan murid dikesan mengalami simptom keracunan makan semalam.
Abdul Aziz menunjukkan notis penutupan sementara kantin SK Cator Avenue selepas lapan murid dikesan mengalami simptom keracunan makan semalam.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengumpulkan data dan maklumat berkaitan insiden keracunan makanan di sekolah-sekolah di negeri ini.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihaknya memandang serius kejadian keracunan makanan yang berlaku di sekolah.

Menurutnya, data mengenai insiden keracunan itu penting bagi tujuan pemantauan selain mencari langkah penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.

"Kita akan panggil agensi terlibat seperti Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pendidikan untuk mengumpul maklumat tersebut.

"Kita akan lihat kekerapan, serius mana kejadian itu dan melihat apakah langkah-langkah perlu untuk mengatasi masalah tersebut," katanya kepada media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, melalui statistik dan kekerapan insiden keracunan dalam tempoh enam bulan atau setahun itu, pihaknya dapat melihat kawasan dan sekolah yang terlibat dengan kejadian tersebut.

"Maklumat dan data tersebut akan turut dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, peniaga selain pengusaha kantin dinasihatkan supaya tidak menjual makanan di luar sekolah bagi mengurangkan risiko insiden sedemikian.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin pengusaha kantin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian tetapi peniaga di luar sekolah belum tentu mematuhi SOP berkenaan," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kejadian keracunan makanan di SK Cator Avenue itu membabitkan hanya lapan murid namun tidak serius dan dibenarkan pulang ke rumah semalam selepas dirawat sebagai pesakit luar.