JAS ambil tindakan undang-undang pencemaran Sungai Kayu Ara

Laporan Sinar Harian sebelum ini melaporkan ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berhubung punca pencemaran di Sungai Kayu Ara sehingga menyebabkan ribuan ekor ikan mati. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
Laporan Sinar Harian sebelum ini melaporkan ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berhubung punca pencemaran di Sungai Kayu Ara sehingga menyebabkan ribuan ekor ikan mati. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
A
A
A

PETALING JAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang menjadi punca kepada pencemaran hingga menyebabkan ribuan ekor ikan mati di Sungai Kayu Ara berhampiran Kampung Cempaka, di sini Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi Dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, tindakan diambil berdasarkan kuasa penguatkuasaan undang-undang melalui Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.

Menerusi undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu katanya, pihak yang menyebabkan punca dari effluen loji rawatan kumbahan atau mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh disabitkan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, pesalah juga boleh dikenakan denda lanjut tidak melebihi RM1,000 sehari jika tiap-tiap kesalahan diteruskan.

“Selepas terima aduan pencemaran dan laporan ikan ditemui mati di Sungai Kayu Ara, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah diarah untuk siasat keadaan di lokasi.

“JAS maklumkan punca pencemaran berkemungkinan daripada air sisa kumbahan berikutan bacaan ammonia nitrogen (AN) yang tinggi hasil pensampelan dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Loy Sian berkata, dianggarkan terdapat enam buah loji kumbahan bermula dari hulu sehingga hilir di sepanjang Sungai Kayu Ara.

Katanya, LUAS telah menjalankan siasatan dan mengambil pensampelan bermula dari hulu sehingga hilir mengikut aliran air sungai mengalir.

Artikel Berkaitan:

“Hasil pemantauan udara (dron) mendapati tiada bangkai ikan ditemui di hulu sungai. Bagaimanapun, bangkai ikan ditemui mengalir bermula dari hulu sehingga ke hilir sungai.

Pemantauan udara oleh LUAS mendapati bangkai ikan ditemui mengalir bermula dari hulu sehingga ke hilir sungai.
Pemantauan udara oleh LUAS mendapati bangkai ikan ditemui mengalir bermula dari hulu sehingga ke hilir sungai.

“Berdasarkan keputusan pensampelan LUAS, bacaan AN di hulu adalah tinggi di sekitar kawasan Taman Mayang yang berkemungkinan daripada effluen loji rawatan kumbahan. Manakala, bacaan di hilir sungai adalah rendah di sekitar kawasan depoh transit aliran ringan (LRT).

“Ia berkemungkinan adalah kerana faktor pencairan (dilution factor). Maka, kawasan berdekatan hulu sungai boleh menjadi salah satu potensi punca utama berlakunya ikan mati atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, kualiti air sungai Ahad lalu berada pada keadaan normal bagi kebanyakan parameter kecuali AN yang mencatatkan bacaan yang tinggi sehingga 5.4 mg/l.

Katanya, pensampelan dihantar kepada Jabatan Kimia bagi tujuan saringan parameter logam dan logam berat.

“Setakat ini kerja-kerja pembersihan bangkai ikan masih dilaksanakan kontraktor bermula Ahad lalu.

“LUAS akan menjalankan pemantauan berkala di lokasi tersebut bagi melihat tren kualiti air Sungai Kayu Ara dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berhubung punca pencemaran di Sungai Kayu Ara sehingga menyebabkan ribuan ekor ikan mati.

ARTIKEL BERKAITAN Pencemaran Sungai Kayu Ara perlu maklumat orang ramai