Polis buka dua kertas siasatan kes Exco bocor minit mesyuarat

Razarudin ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Julai 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini.
A
A

IPOH - Polis Perak telah membuka dua kertas siasatan terhadap laporan kes membabitkan Exco kerajaan negeri, Abdul Yunus Jamhari.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya masih menunggu arahan untuk meneruskan siasatan kes membocorkan maklumat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan dan fitnah yang diterima Exco terbabit.

Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

"Bagi kedua-dua seksyen tersebut, kita perlukan perintah untuk menyiasat. Setelah kita menerima arahan, kita terus siasat.

"Kita telah mendapat arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri dan kita ambil percakapan kedua-dua saksi kes tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Julai 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.

Sabtu lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean membuat laporan polis terhadap Abdul Yunus yang didakwa membocorkan minit mesyuarat MMKN untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu telah membuat laporan balas berhubung pembabitan beberapa anggota parti dalam kes fitnah terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bocor minit mesyuarat: Exco lapor ke Jawatankuasa Disiplin PKR, KPM


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia