Projek terbengkalai, sampai rumah dah naik semak

Keadaan rumah di Taman Perumahan Jaza Idaman, Cherang Ruku yang dinaiki semak. Gambar kecil, Abdul Rani Ibrahim.
Keadaan rumah di Taman Perumahan Jaza Idaman, Cherang Ruku yang dinaiki semak. Gambar kecil, Abdul Rani Ibrahim.
A
A
A

PASIR PUTEH - Lebih 200 pembeli rumah Taman Perumahan Jaza Idaman di Cherang Ruku dan Taman Perumahan Jaza Seri Pasu di Jeram Pasu di sini kecewa kerana projek yang bermula sejak 10 tahun lalu itu terbengkalai.

Pembeli yang kebanyakannya penjawat awam membayar rumah masing-masing melalui potongan gaji selama tempoh berkenaan.

Wakil pembeli, Abdul Rani Ibrahim, 52, berkata, gajinya dipotong hampir RM500 sebulan sejak 2012 dan pada masa sama masih menyewa rumah di Tanah Merah kerana rumah yang dijanjikan tidak disiapkan pemaju mengikut jadual.

"Kita sudah beli rumah tapi hanya boleh lihat sahaja, sekarang rumah dah naik semak. Syarikat pertama yang memajukan projek tersebut diisytiharkan muflis dan mahkamah menyerahkannya kepada syarikat lain.

"Nasib pembeli tidak berubah apabila syarikat baru itu juga tidak melakukan sesuatu dalam meneruskan projek berkenaan. Sudah tiga tahun syarikat baru mengambil alih tetapi projek tak jalan jugak," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pembeli kecewa projek perumahan terbengkalai sejak 10 tahun lalu.
Pembeli kecewa projek perumahan terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Pemilik tanah projek Perumahan Taman Jaza Idaman, Mat Nor Omar, 76, ketika ditemui berkata, dia belum mendapat apa-apa bayaran dan faedah daripada pembangunan taman perumahan itu.

Menurutnya, sehingga kini tiada kata putus dari pihak pemaju berhubung tanah seluas hampir dua hektar yang bernilai RM700,000 itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak kisah syarikat mana pun yang ambil alih, yang penting berhubunglah dengan saya, selesaikan juga masalah pembeli.

"Saya berharap kerajaan campur tangan dalam hal ini, belalah nasib kami kerana kami tidak ada tempat lagi untuk mengadu," katanya.