Isytihar harta ukur sikap telus Ahli Parlimen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing yang diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha menegakkan prinsip integriti dan ketelusan di negara ini.

Penganalisis Politik Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata keputusan itu secara tidak langsung meletakkan Malaysia setaraf dengan negara-negara dunia pertama yang telah lama melaksanakan syarat itu dalam undang-undang dan polisi negara mereka.

“Menurut laporan Bank Dunia, pengisytiharan aset dianggap sebagai sebuah alat yang kuat dalam pencegahan rasuah, mengenal pasti harta tidak sah dan konflik kepentingan dalam kalangan pegawai awam.

“Perkara ini sememangnya telah lama dicadangkan. Ia menekankan kepentingan dan keperluan wakil rakyat menyatakan jumlah harta dan kedudukan kewangan mereka yang dapat mewujudkan suasana yang lebih telus mengenai sumber pendapatan secara keseluruhannya.

“Melalui kaedah ini juga rakyat dapat mengenalpasti sama ada wakil rakyat yang dipilih ‘bersih’ atau sebaliknya melalui peringkat proses tertentu. Ini termasuklah konsep seperti adil, saksama, objektif, telus, tiada konflik kepentingan peribadi serta akauntabiliti seseorang Ahli Parlimen terhadap negara dan rakyat,” katanya kepada Bernama.

MANFAAT RAKYAT, NEGARA

Pada 1 Julai lepas, usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika menggulung usul itu berkata ia adalah usaha pertama kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan ketelusan diamal secara lebih menyeluruh selain bertujuan menangani rasuah.

Menurut Liew, usul itu akan terpakai kepada semua Ahli Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak mereka berumur 21 tahun ke bawah dan pemegang amanah berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Nik Ahmad Kamal yang juga pensyarah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata selain mendukung prinsip telus, tindakan itu pada masa sama mampu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap wakil yang dipilih serta sistem legislatif dan perundangan negara.

“Tidak dinafikan kewajipan mengisyithar harta oleh Ahli Parlimen boleh mengundang persepsi negatif terutama jika harta yang diisytihar dalam jumlah besar. Mungkin wujud tanggapan bahawa harta itu diperoleh melalui cara yang salah dengan menggunakan pengaruh lebih-lebih lagi jika telah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Ia juga boleh menggugat kerahsiaan individu kerana harta dan kekayaan milik peribadi adalah rahsia peribadi dan tidak seharusnya menjadi maklumat awam. Maklumat sebegini boleh terdedah kepada penyalahgunaan dan risiko besar terhadap keselamatan diri dan keluarga Ahli Parlimen terlibat. Dalam konteks undang-undang Malaysia mengenai perlindungan data peribadi, ia juga bukanlah hak yang mutlak kerana terdapat pengecualian berdasarkan kepentingan awam.

“Bagaimanapun, dalam konteks yang lebih besar khususnya kemaslahatan awam, pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen mempunyai kebaikan dan kepentingan yang jauh lebih besar berbanding keburukannya. Apa yang penting ia mesti mempunyai prosedur dan tatacara yang jelas untuk dikuatkuasakan agar memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

KUATKUASA UNDANG-UNDANG

Nik Ahmad Kamal memetik laporan Bank Dunia, sebanyak 70 peratus negara di Eropah dan Asia Tengah serta 97 peratus negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) berpendapatan tinggi telah mewajibkan penyiaran umum maklumat pengisytiharan aset pengawai awam.

“Banyak negara telah melaksanakan pengisytiharan harta dalam kalangan ahli legislatif mereka dengan undang-undang yang khusus seperti di Thailand, Korea Selatan, Macao dan Georgia. Undang-undang itu boleh menghukum Ahli Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta atau memberi maklumat tidak benar atau tidak cukup mengenai pemilikan harta mereka.

“Di Thailand contohnya, ia adalah sebahagian daripada undang-undang pencegahan rasuah dan salah guna kuasa. Hukuman penjara selama enam bulan dan juga denda boleh dikenakan kepada Ahli Parlimen yang ingkar. Harta yang tidak dapat dibuktikan sumber pendapatan dengan jelas juga boleh dirampas dan dijadikan harta awam.

“Walaupun di Malaysia tiada undang-undang khusus mengenai perkara ini namun ia boleh dilaksanakan melalui penguatkuasaan di bawah undang-undang jenayah, Kanun Keseksaan,” katanya.

Antara perkara yang perlu dipertimbangkan bagi penguatkuasaan undang-undang berkenaan termasuklah pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam menentukan jenis harta alih dan harta tak alih, nilai dan harga sebenar kepada harta alih dan tak alih, penelitian dan keputusan pemilikan serta proses verifikasi yang tuntas dan cepat bagi mengelakkan pemeriksaan yang lama dan berpanjangan termasuklah memantapkan proses pengisytiharan harta atas talian.

“Proses dan tatacara perlu jelas, adil dan telus. Jangka masa pemeriksaan dan proses verifikasi perlu ditetapkan bagi mengelak masa yang terlalu lama dan tidak munasabah. Beri ruang secukupnya untuk mereka yang terlibat memberi bukti dan alasan contohnya pembuktian pemilikan harta dan pembelian barang alih dan tak alih melibatkan kehilangan surat pembelian atau resit pembelian,” katanya.

SEMPADAN KUASA

Berkongsi pandangan, peguambela dan peguamcara Muhammad Hafiz Hood berkata pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen penting bagi mengelakkan kuasa mutlak kepada ahli politik yang terdedah kepada penyalahgunaan kuasa kerana konsep telus akan mengawal mereka.

Menurut beliau melihat kepada lambakan kes pecah amanah dan penyelewengan oleh mereka yang sebelum ini memegang kuasa, ia jelas menunjukkan keperluan terhadap undang-undang atau akta berkaitan bagi membendung gejala itu.

“Pengisytiharan harta adalah satu pendekatan yang boleh mengawal ketirisan yang berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen. Cadangan terbaik ialah dengan penggubalan akta. Undang-undang baharu mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan ahli politik tidak korup serta mematuhi aspirasi Pelan Integriti Nasional.

“Politik dan undang-undang berkait rapat dengan perihal persepsi dan pandangan umum. Jika dalam prinsip undang-undang wujudnya pepatah ‘justice must not only be done but it must seem to be done’, maka prinsip yang sama wajar terpakai kepada ahli politik dan pentadbir (pemerintah).

“Politik ini asasnya ketelusan dan integriti. Perkara yang membezakan pemerintah dengan rakyat adalah kuasa dan kuasa ini perlu sempadan. Sebab itu sempadan hanya boleh disekat sekiranya ahli politik bersikap terbuka dan mengangkat ketelusan sebagai amalan mereka,” katanya sambil menambah penubuhan suruhanjaya atau badan khas juga boleh dikaji bagi memantau undang-undang berkenaan.

CEGAH KORUPSI

Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara Shah Alam Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin berkata pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen dapat mengekang amalan mengumpul harta kekayaan melampau yang diperolehi secara korup.

Kata beliau, dalam satu tinjauan yang dijalankan oleh Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat pada tahun 2009 menunjukkan terdapat lebih 175 buah negara melaksanakan pengisytiharan harta.

“Terdapat negara yang melaksanakannya melalui peruntukan undang-undang dan ada juga yang secara sukarela. Negara yang mempunyai peruntukan undang-undang pengisytiharan harta didedahkan kepada umum antaranya seperti Belgium, Colombia, Itali, Korea Selatan, Hungary dan Sepanyol.

“Denmark, Finland, Norway dan Singapura menjadikan pengisytiharan harta sebagai amalan manakala Kanada dan Mexico pula melaksanakannya melalui pendedahan bersyarat. Malaysia mungkin perlu memberi penelitian terhadap perkara atau aset yang perlu diisytiharkan. Kanada sebagai contoh tidak membuat pendedahan aset boleh alih,” katanya sambil menambah perkara yang perlu diambil kira termasuklah aset, tanggungan, perbelanjaan, pendapatan, hadiah sumbangan dan percutian.

Tambah beliau, pengisytiharan harta turut mencerminkan kesuburan nilai demokrasi dalam negara, membolehkan masyarakat menilai keikhlasan Ahli Parlimen melaksanakan amanah rakyat di samping secara tidak langsung meningkatkan keyakinan masyarakat khususnya pelabur luar. - Bernama