Tun M cabar Anwar isytihar harta

Mahathir
Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytihar kesemua hartanya bagi membuktikan beliau bersih dan tidak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

Beliau hairan dengan tindak-tanduk Perdana Menteri itu akhir-akhir ini yang sering mengulangi pendirian konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan beliau mempunyai berpuluh-puluh kotak bukti berkaitan tuduhan berkenaan.

“Kalau sudah ada dedahlah dan dakwalah di mahkamah. Tetapi tidak.

“Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu daripada pemimpin lama yang dituduh bantu kroni,” ciapnya menerusi Twitter pada Isnin.

Beliau juga mendesak Anwar supaya mendedahkan kekayaan sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dituntut sekarang dan membantu rakyat dengan menggunakan duit sendiri, bukan duit kerajaan.

“Pada masa yang sama, Anwar kononnya mempunyai maklumat tentang berbilion yang disapu oleh saya dan keluarga saya.

"Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya,” ujarnya

Anwar turut digesa untuk membuktikan kekayaan bekas Perdana Menteri itu kepada mahkamah agar pengisytiharan kekayaan itu diketahui dunia.

“Tak perlu saya isytihar lagi,” tegasnya.

Anwar sebelum ini menggesa harta Dr Mahathir yang didakwa berjumlah berbilion-bilion ringgit di bank di luar negara dibawa balik untuk membantu orang Melayu di Malaysia.

Pada Mac 2019 sewaktu era pentadbiran Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, kedua-dua pemimpin itu telah pun membuat pengisytiharan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepertimana yang dikehendaki kerajaan Pakatan Harapan.

Anwar mengisytiharkan nilai keseluruhan aset miliknya sebanyak RM10.74 juta manakala Dr Mahathir RM32.3 juta.