Laporan Audit: Projek infrastruktur SOC tidak diurus dengan cekap

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek pembinaan infrastruktur Pusat Sektor Operasi (SOC) didapati tidak diuruskan dengan cekap, menyebabkan kompleks itu tidak dapat beroperasi sehingga akhir 2018 walaupun telah siap sejak Oktober 2017.

SOC merupakan pusat pertahanan udara yang bertanggungjawab menjaga dan memantau ruang udara di Malaysia.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 1 merumuskan bahawa pengurusan projek itu lemah, khususnya kelewatan perpindahan radar dari tapak sementara di lokasi A ke tapak sebenar di lokasi B. Kedua-dua lokasi itu tidak didedahkan kerana melibatkan aspek keselamatan negara.

"Radar yang lewat dipindahkan dari tapak radar sementara di lokasi A ke lokasi B telah menjejaskan pencapaian ‘outcome’ projek pembinaan," jelas laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kelewatan perpindahan radar itu mengakibatkan 'Defects Liability Period' (DLP) tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya, kerana kerosakan dan kecacatan tidak dapat dikenal pasti dengan lebih awal.

Projek pembangunan infrastruktur SOC merupakan projek pembinaan kompleks radar merangkumi platform radar, bangunan operasi dan infra sokongan bagi Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia.

Laporan itu mengesyorkan supaya Kementerian Pertahanan menyediakan satu mekanisme jelas sebagai rujukan pihak terlibat, bagi memastikan perancangan perpindahan radar diselaras dengan kemajuan fizikal pembinaan kompleks.

"Ini bagi memastikan kompleks dapat beroperasi pada masa sepatutnya dan tempoh DLP dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Pertahanan juga perlu memastikan aspek pentadbiran kontrak berkaitan kelulusan lanjutan masa dan penyerahan projek dilaksana dengan teratur, selain meningkatkan pemantauan dari aspek dokumentasi serta kerja-kerja binaan," menurut laporan itu.- Bernama