Ubat kuat 'beracun' bernilai RM510,000 dirampas

Ubat kuat lelaki bernilai RM510,000 dirampas yang dirampas dalam serbuan di sebuah kilang di Damansara semalam. - Foto Ihsan JKNS
Ubat kuat lelaki bernilai RM510,000 dirampas yang dirampas dalam serbuan di sebuah kilang di Damansara semalam. - Foto Ihsan JKNS
A
A
A

PETALING JAYA - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas ubat kuat lelaki bernilai RM510,000 yang disyaki mengandungi racun berjadual Tadalafil dalam satu serbuan di sebuah kilang di Damansara semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, dalam serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor itu turut merampas kosmetik tidak bernotifikasi dianggarkan bernilai RM124,000.

Menurutnya, serbuan dilaksanakan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti pengilangan produk kesihatan tidak berdaftar di premis terbabit.

“Kesemuanya dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

“Tindakan tegas akan diambil kerana ini kesalahan kedua di premis yang sama,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli sebarang ubat kuat yang tidak berdaftar secara dalam talian.

Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik di pasaran dan memastikan ia mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Pengguna boleh semak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my / atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk meragukan kepada Program Perkhidmatan Farmasi menerusi laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my.

Aduan juga boleh dibuat menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau mana-mana cawangan penguatkuasaan farmasi berdekatan.