Akademi Sains Malaysia masih belum kembalikan dana RM31.66 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM31.66 juta dana program penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak digunakan dalam pegangan Akademi Sains Malaysia (ASM) di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, masih belum dikembalikan semula kepada kerajaan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2018.

Ia merupakan antara penemuan Audit yang dijalankan antara November 2017 dan April 2018 yang mendapati dana di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) (2011-2015) yang tidak digunakan itu masih belum dikutip semula daripada ASM.

Secara keseluruhannya, laporan ketua audit itu merumuskan bahawa pengurusan Dana Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) semasa pentadbiran kerajaan terdahulu belum mencapai tahap kecekapan optimum yang mana sasaran ditetapkan tidak dapat dicapai sepenuhnya.

“Pada pendapat Audit, baki dana yang tidak dikutip semula dan hanya disimpan oleh ASM menyebabkan ia tidak dapat diagih kepada pemohon lain dan gagal dimanfaatkan untuk tujuan yang ditetapkan,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Di samping kelemahan dalam aspek kutipan semula dana, terdapat juga proses kelulusan permohonan dan menyempurnakan perjanjian serta pemantauan fizikal yang menjejaskan pengurusan program R&D berkenaan oleh kementerian tersebut, menurut laporan itu.

Antaranya lima projek R&D dengan perbelanjaan terkumpul RM1.4 juta telah ditamatkan kerana gagal menghantar Laporan Pencapaian Milestone (MAR) serta tiga projek R&D bernilai RM2.9 juta tidak mencapai objektif dalam perjanjian.

Selain itu, 19 perjanjian lewat ditandatangani antara 46 hari hingga 408 hari berbanding sasaran 30 hari, serta sebanyak 28 permohonan dana lewat diluluskan oleh Mosti antara empat hingga 211 hari berbanding prosedur operasi standard (SOP) iaitu 60 hari.

Justeru, laporan itu mengesyorkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) membuat tuntutan terhadap dana yang tidak digunakan oleh ASM itu memandangkan peruntukan berkenaan masih belum digunakan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bahagian Dana Mestecc perlu mengadakan lawatan pemantauan pertama dalam tempoh tiga bulan selepas bayaran pendahuluan disalurkan kepada entiti bagi memastikan program R&D telah dimulakan.

Bahagian itu juga perlu membuat lawatan susulan sebelum atau selepas tuntutan perbelanjaan dibuat bagi memastikan kemajuan dan pelaksanaan projek, selain menyediakan SOP bagi urusan kutip balik dan menuntut semula bayaran bagi projek yang ditamatkan.

ASM melalui surat bertarikh 23 April 2019 telah memohon supaya pemulangan baki peruntukan dana ditangguh sehinggga Jun 2019 kerana pihaknya sedang mencairkan Sijil Simpanan Tetap dana peruntukan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.- Bernama