Projek pembinaan Politeknik Besut diteruskan

Che Mukhtar (empat, kanan) dalam program bersama Exco Kerajaan negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di Balai Seni Ukir Besut
Che Mukhtar (empat, kanan) dalam program bersama Exco Kerajaan negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di Balai Seni Ukir Besut
A
A
A

BESUT - Proses pembinaan Politeknik Besut di Bukit Keluang, di sini diteruskan dan kerja pembinaan bangunan tersebut kini rancak berjalan.

Pengarah Politeknik Besut, Che Mukhtar Bakar berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan telah meneruskan projek pembinaan tersebut yang dilancarkan pada Mac tahun lepas.

Menurutnya, status terkini pembinaan politeknik yang bernilai RM169 juta ini adalah sebanyak 19 peratus, mendahului 56 hari dari tempoh ditetapkan.

"Warga politeknik gembira dengan keputusan kerajaan tersebut dan pembinaan institusi ini dijangka akan siap pada Januari 2021.

"Pengambilan pelajar sulung di kampus tersebut pula dijangka akan dilakukan pada Julai tahun yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Perkongsian Kepakaran dan Pembangunan Ukiran Kayu Tradisi di Desa Ukiran Kayu, di sini.

Che Mukhtar berkata, pengambilan pelajar politeknik semasa diteruskan khususnya bagi yang mengikuti pengajian Diploma Teknologi Digital yang ditempatkan di kampus sementara Politeknik Besut.

Sebelum ini pelbagai pihak di daerah ini memohon supaya kerajaan meneruskan pembinaan institusi pendidikan tinggi yang diluluskan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, majlis perasmian Majlis Pecah Tanah Politeknik Besut disempurnakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Oktober tahun lepas.