'Ini final terbaik Wimbledon'

Djokovic (kiri) mempertahankan kejuaraan Wimbledon selepas tewaskan Federer di pentas final. -Foto AP
Djokovic (kiri) mempertahankan kejuaraan Wimbledon selepas tewaskan Federer di pentas final. -Foto AP
A
A
A

Novak Djokovic berjaya mempertahankan kejuaraan Grand Slam Terbuka Wimbledon awal pagi semalam dan menyifatkan kemenangan kali ini bakal terpahat dalam sejarah sukan tenis.

Ia selepas aksi final yang menemukan Djokovic dan Roger Federer itu mencipta rekod sebagai final paling panjang kejohanan itu apabila ia berlangsung selama empat jam 57 minit.

Pertembungan bersejarah itu turut menyaksikan aksi itu diheret ke set kelima sebelum kemenangan akhirnya berpihak kepada Djokovic, 7-6 (7-5), 1-6, 7-6 (7-4), 4-6, 13-12 (7-3).

Djokovic berkata, beliau seakan sukar mempercayai kejayaan meraih gelaran kelima Wimbledon ini, namun pada masa sama bersimpati dengan lawannya itu.

"Ini bukan sekadar perlawanan akhir paling menarik pernah saya hadapi, tapi ia juga menjadi aksi final terbaik pernah saya hadapi sepanjang karier.

"Lebih menakjubkan, final ini menemukan saya dengan seorang pemain paling saya hormati sepanjang zaman, Roger Federer yang juga boleh dianggap sebagai legenda tenis.

"Sejujurnya, sehingga ke mata terakhir kemenangan boleh berpihak kepada sesiapa sahaja. Malangnya, dalam perlawanan seperti ini seseorang perlu kalah dan saya berjaya bangkit untuk menang," katanya.

Pada masa sama, Djokovic turut memasang impian menyamai rekod yang dipegang Federer iaitu meraih 20 gelaran Grand Slam berbanding 16 yang kini dirangkul pemain Serbia itu.

Artikel Berkaitan:

"Federer memberikan inspirasi bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada semua orang. Dia membuatkan kami percaya bahawa usia bukan penghalang untuk sukan ini dengan beraksi cemerlang pada usia 37 tahun.

"Oleh sebab itu, saya mahu menjadi sepertinya dan mencipta kejayaan sama sepertinya," katanya lagi.