Takkan henti desak Moorthy, Ganabatirau letak jawatan

Haslihelmy DM Zulhasli
Haslihelmy DM Zulhasli
A
A
A

KUANTAN - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Melayu Bersatu Pahang tidak akan berhenti daripada terus mendesak kerajaan agar mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Timbalan Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pihaknya turut mahu Exco Selangor, V Ganabatirau dilucutkan jawatan kerana dengan sengaja menyemarakkan api perkauman di dalam media sosial.

Menurutnya, tindakan tersebut harus diambil ekoran kegagalan menteri itu dalam meredakan rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lalu, sehingga mengakibatkan seorang anggota bomba terkorban.

"Walaupun Waytha Moorthy bertanggungjawab dalam soal perpaduan, beliau dilihat gagal sekali gus mencetuskan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.

"Malah kelemahan beliau dan Ganabatirau kerana mengeluarkan kenyataan menyalahkan polis mencetuskan kekecohan di kuil itu sehingga meragut nyawa, Muhammad Adib Mohd Kassim," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam pada itu, Haslihelmy mencadangkan peletakan jawatan Waytha Moorthy perlu dibincangkan jemaah Kabinet kerana kecelaruan pandangan hanya akan memberikan mesej dan isyarat yang berbeza dalam kalangan rakyat.

"Kabinet perlu nyatakan pendirian secara kolektif dalam isu tersebut supaya ia tidak berpanjangan.Menteri boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh rakyat.

"Tetapi, dalam situasi hari ini, kuasa rakyat jauh melangkaui apa yang boleh dilakukan oleh jemaah Kabinet dan saya berharap kabinet mendengar luahan hati rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Haslihelmy berkata, keputusan drastik walaupun pahit perlu diambil oleh kerajaan demi menghormati rakyat dan isu ini harus dijadikan pengajaran supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di sebalik keterbukaan demokrasi dan integriti yang diamalkan.

“Desakan rakyat supaya Waytha Moorthy meletakkan jawatan adalah refleksi keterbukaan yang menjadi agenda besar kerajaan hari ini. Realiti Malaysia Baru kini rakyat mempunyai suara untuk mengkritik pemimpin dan meminta mereka untuk melepaskan jawatan.

"Kita juga menganggap keterbukaan ini adalah amalan baru dalam konteks negara dan percaya ianya jika diuruskan dengan baik, ianya akan mewujudkan kematangan secara berhemah dalam kerajaan baharu," katanya.