Dipaksa buang sisa toksik dalam parit

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang lelaki mendakwa pernah bekerja dengan beberapa kilang kimia di Pasir Gudang yang melupuskan sisa toksik secara haram.

Menurut lelaki yang berusia 39 tahun itu, pekerja diarahkan melupuskan sisa berbahaya seperti gliserin, metanol, asid dan hidrogen peroksida tanpa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan.

"Saya pernah bekerja di beberapa kilang minyak dan gas di Pasir Gudang. Memang kebanyakan jam 3 pagi atau 4 pagi mereka akan buang sisa dalam parit. Bukan hari ini saja, dah lama berlaku.

"Tangan saya sendiri pernah buang sisa itu kerana memang caranya begitu. Kita tahu benda itu salah tapi kita sebagai pekerja, mereka tanya nak kerja lama atau sekejap, tak boleh nak cakap apa terutama yang baru kerja," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih 10 tahun lalu kilang tempat kerjanya itu buang 40 tan gliserin sehari dan hanya hanya mengikut SOP sekiranya berlaku kes atau pemeriksaan pihak berkuasa.

"Apabila ada kes macam sekarang, mereka akan bersihkan dalam kilang dan kalau jumpa sisa di sungai, mereka boleh tuding jari kepada syarikat lain. 40 tan gliserin sehari bukan sedikit. Kalau sebulan dah berapa banyak?

"Kalau ada pemeriksaan memang ikut SOP beberapa bulan tapi selepas itu buang semula terutama waktu hujan. Kadang-kadang terfikir, sisa yang dibuang punyalah banyak tapi mereka hanya dikompaun dengan jumlah yang memang boleh dibayar pun," katanya.

Dia berkata, sisa toksik yang dibuang itu menyebabkannya mendap ke dalam air dan tanah di sungai menjadi kotor dan busuk.

Artikel Berkaitan:

"Kalau nak buang minyak pula mereka akan guna air yang banyak untuk hilangkan kesan. Lagi-lagi kalau musim hujan, kilang akan beritahu tak mahu bertanggungjawab, pandai-pandailah lupuskan sisa itu.

"Jadi pekerja bawahan seperti bahagian keselamatan nak buat apa? Macam mana nak lupuskan? Memang buang begitu sajalah," katanya.

Menurutnya, setiap kilang sepatutnya memiliki sistem yang boleh mengesan pembuangan sama ada dalam bentuk gas mahupun perubahan PH air.

"Sepatutnya sudah ada sistem untuk kesan pembuangan sama ada gas ataupun PH air. Macam sistem emas, ada orang curi amaran berbunyi, buatlah macam itu. Sekarang mana ada. Apabila ada orang sakit, barulah nak sibuk cari punca," katanya.