Mohd Said berjaya banteras mat rempit di Kemaman

Aidi (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kemaman antara Mohd Said (kiri) dan Mohd Haki.
Aidi (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kemaman antara Mohd Said (kiri) dan Mohd Haki.
A
A
A

KEMAMAN - Berjaya membanteras gejala mat rempit dengan kaedah dan cara tersendiri menjadi salah satu pencapaian membanggakan Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim sepanjang hampir empat tahun menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, inisiatif dilakukan itu berjaya mengurangkan aktiviti mat rempit di Kemaman.

Selain itu katanya, pelbagai kejayaan lain diperoleh beliau termasuk mengurangkan kadar jenayah indeks secara konsisten setiap tahun.

"Kadar jenayah indeks di Kemaman pada tahun lalu mencatatkan penurunan kepada 274 kes berbanding 329 kes pada 2017 iaitu berkurang sebanyak 16 peratus atau 55 kes.

"Beliau juga berjaya membanteras aktiviti-aktiviti dadah dan mencapai beberapa petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman terutama dalam aspek tangkapan," katanya.

Aidi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini.

Mohd Said kini dinaikkan pangkat sebagai ACP seiring dengan pertukaran beliau sebagai Ketua Polis Daerah Seremban, manakala jawatan Ketua Polis Daerah Kemaman sekarang dipangku timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah.

Dalam membanteras aktiviti mat rempit, Mohd Said memperkenalkan pendekatan berbentuk kerohanian apabila mereka terbabit yang ditahan dalam operasi dibawa menunaikan solat berjemaah di masjid dan usaha itu turut mendapat pujian Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Said turut mewujudkan pasukan penyelam skuba IPD Kemaman sekali gus muncul sebagai satu-satunya pasukan seumpama itu ditubuhkan di negara ini.

Aidi turut yakin dengan kredibiliti dan pengalaman dimiliki dalam pasukan akan memudahkan Mohd Said untuk menjalankan tugas di Seremban.

Sementara itu, Mohd Said mengakui pengalaman beliau berkhidmat di daerah ini sangat unik kerana hubungan beliau dengan masyarakat begitu akrab.

Beliau turut menubuhkan pasukan pacuan empat roda (4x4) dan team gateh (berbasikal).

Pada majlis itu, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Kemaman antara Norhatimah Md Deni dengan Tuan Nor Aini Tuan Hasan.