PH perlu tambah 30 kerusi Parlimen majoriti Melayu

Mohamad (tengah) bersama sebahagian ahli Amanah Tumpat selepas selesai perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tumpat di Kompleks Perpaduan Tumpat hari ini.
Mohamad (tengah) bersama sebahagian ahli Amanah Tumpat selepas selesai perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tumpat di Kompleks Perpaduan Tumpat hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Pakatan Harapan (PH) perlu menambah 30 kerusi Parlimen di kawasan Melayu pada pilihan raya akan datang.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, penambahan kerusi Melayu itu perlu supaya tidak dituduh kerajaan majoriti satu kaum sahaja.

Menurutnya, biar tambah 30 kerusi ke atas untuk orang Melayu, baharulah orang lihat PH parti harmoni dan tidak dituduh kerajaan majoriti satu kaum.

"Insya-ALLAH ada harapan untuk ke arah itu dan menang pada pilihan raya akan datang," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Perpaduan Tumpat hari ini.

Sebelum itu beliau merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tumpat kali ke 4 di dewan kompleks tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Amanah Tumpat, Wan Mohd Johari Wan Omar.

Dalam pada itu, Mohamad optimis PH menang di Kelantan apabila berlakunya perpindahan yang semakin ketara ahli parti pembangkang apabila mereka menyertai parti Bersatu dan Amanah.

"Kita mahu menang beberapa Parlimen di Kelantan, tak berani nak sasar berapa tetapi kalau boleh nak menang separuh kerusi Parlimen di Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, rakan komponen PH seperti parti Bersatu, Amanah dan PKR yang berteraskan Melayu perlu bekerja keras untuk menambah kerusi mereka.

"Kita yang belum banyak lagi menang terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa kawasan di Kedah.

"Jadi di sini Amanah, Bersatu dan PKR perlu tambah kerusi mereka, DAP dah menang hampir kesemua (kerusi Parlimen) yang diperuntukkan kepada mereka," katanya.

Ditanya mengenai pendapat Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa yang mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Perdana Menteri, ia disifatkan sebagai pendapat peribadi Husam sahaja.

"Itu pandangan peribadi beliau, sesiapa sahaja boleh keluarkan pandangan, kita tidak ada masalah soal itu," katanya.