Tiga tong mengandungi bahan kimia bocor

Tong menyimpan kimia dilaporkan bocor di sebuah kilang elektronik di Tanjung Agas, Tangkak.
Tong menyimpan kimia dilaporkan bocor di sebuah kilang elektronik di Tanjung Agas, Tangkak.
A
A
A

TANGKAK - Tiga buah tong mengandungi bahan kimia jenis sodium fluoride mengalami kebocoran dalam kejadian di sebuah kilang elektronik di Tanjung Agas, di sini hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, kebocoran tong yang memuatkan 220 liter kimia itu bagaimanapun tidak berbahaya kerana membabitkan kuantiti kecil.

“Tiga tong kimia itu dilaporkan bocor kerana mengalami proses pengembangan. Dipercayai bahan kimia yang disimpan dalam empat tong di kilang berkenaan telah digunakan sebelum ini dan menunggu masa untuk dilupuskan.

“Bagaimanapun, tidak sampai seliter bahan kimia itu dilaporkan mengalir. Bomba terpaksa melakukan kerja-kerja kawalan bagi mengelakkan bahan itu daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.54 pagi tadi.

“Ketika ini, pihak kilang turut melantik kontraktor bagi kerja-kerja melupus semua kimia berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: