Najib bukan calang-calang: Tajuddin

Najib (kiri) dan Tajuddin
Najib (kiri) dan Tajuddin
A
A
A

IPOH - Fenomena 'bossku' berjaya menjadi ikutan rakyat di setiap program diakui antara faktor utama Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kelebihan bekas Perdana Menteri itu menarik perhatian ramai sekali gus memberi nafas baharu kepada parti.

"Ada pro dan kontranya dalam pelantikan Najib ini namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan kebolehan beliau mampu bantu parti bangkit semula melalui sokongan yang diraih.

"Ini kebangkitan yang bukan calang-calang dan jika dimanfaatkan sehingga pilihan raya akan datang, ia menjadi kekuatan baharu kepada parti. Jika sisihkan 'bossku', satu kerugian buat kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perjumpaan semula dan rumah terbuka anjuran Taj International College (TIC) di sini semalam.

Menurutnya, pertikaian bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan pelantikan itu dilihat hanya bersifat peribadi.

"Tidak semua pemimpin dalam parti dapat melakukan perkara serupa. Saya sendiri pun tidak boleh. Nazri dan Khairy boleh ke tarik pengikut? berapa yang boleh ikut mereka?

"Lagipun, Najib sangat berpengalaman dalam pentadbiran negara. Dia pernah berada di beberapa kedudukan penting seperti menteri besar, menteri pertahanan dan sebagainya. Kita pun tidak pengalaman sebanyak itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tajuddin berkata, Najib hanya bertindak sebagai penasihat dalam BN dan tidak memiliki kuasa eksekutif.