Ucapan romantis Tun M buat isteri

Paparan Facebook Dr Mahathir
Paparan Facebook Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dari dulu hingga sekarang, kisah cinta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sentiasa dihiasi momen romantis yang acap kali mencairkan hati rakyat.

Jika pada 10 Julai lepas rakyat Malaysia meraikan hari ulang tahun kelahiran Dr Mahathir, tanggal 12 Julai tibalah hari ulang tahun kelahiran untuk Dr Siti Hasmah.

Sempena hari lahir ke-92 isterinya, Ahli Parlimen Langkawi itu memuat naik status romantik dalam laman Facebook beliau, menzahirkan ucapan hari lahir istimewa buat isterinya.

“Happy Birthday to my wife Hasmah. Terima kasih kerana sentiasa bersama dan menemani saya.

“Saya sedar masa saya banyak dihabiskan dengan bekerja, lebih-lebih lagi sekarang kerana itu saya menghargai kesabaran isteri saya.

“Semoga diberkati ALLAH sentiasa,” tulis Perdana Menteri.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah menerima kejutan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang berkenan menganjurkan sambutan hari jadi "impromptu” (mengejut) buat mereka di Istana Negara di sini.

Detik-detik istimewa itu berlangsung selepas penyampaian Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Pada istiadat yang sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N).

Istiadat persembahan darjah kebesaran kepada Seri Paduka berdua disampaikan Dr Mahathir yang mewakili kerajaan.

Dr Mahathir kelihatan benar-benar terkejut apabila kek khas bersama pulut kuning dibawa masuk ke dalam bilik untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-94 pada 10 Julai.

Dr Siti Hasmah pula menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-92 pada 12 Julai.

Seri Paduka berdua berkenan berangkat menyertai majlis itu sebaik para hadirin menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada acara memotong kek.